Agong perkenan lanjut tempoh bentuk kerajaan hingga jam 2 petang esok



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang esok.

Selaras lanjutan itu, parti politik kini memiliki tambahan sekurang-kurangnya 24 jam lagi untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda memberi perkenan itu selepas ketua parti dan gabungan parti politik memohon Istana Negara melanjutkan tempoh masa berkenaan, yang asalnya ditetapkan berakhir jam 2 petang hari ini.

“Adalah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10, dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok.



“Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan permohonan daripada ketua parti dan gabungan parti politik yang telah diterima Istana Negara hari ini.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya gabungan parti politik mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang hari ini

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, yang menunjukkan tiada mana-mana parti politik berjaya meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.



Sehubungan itu, ketua parti dan gabungan yang berjaya mendapatkan sokongan mencukupi untuk memaklumkannya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan, pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara, berdasarkan prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

Pada masa sama, katanya Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat mendoakan supaya proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri dipermudahkan serta berjalan lancar demi kepentingan negara.

“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.



BHOnline



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker