Impian miliki rumah musnah, RM47,000 dibawa lari jurujual

Oleh – Syeikh Baran


Impian miliki rumah musnah, RM47,000 dibawa lari jurujual
Gambar Hiasan

Impian suami isteri memiliki rumah idaman musnah selepas wang pendahuluan yang dibayar kira-kira RM47,000 lesap dibawa lari jurujual, hujung bulan lalu.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rahman, 50-an, merayu tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelak lebih ramai keluarga menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, dia dan isterinya bertemu dengan ejen jualan terbabit semasa melawat sebuah rumah contoh di sekitar Lembah Klang pada Januari.

“Jurujual berkenaan merupakan lelaki tempatan berusia 30-an yang bekerja dengan sebuah syarikat pemaju hartanah dan licik menawarkan pelbagai tawaran tambahan untuk menarik minat mangsanya.

“Selepas berbincang dengan jurujual berkenaan kami tertarik dan mahu membeli sebuah unit rumah bersama pakej penghawa dingin yang ditawarkan,” kata pengurus tadbir korporat swasta itu kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Rahman berkata, jurujual terbabit meminta supaya pembayaran deposit dilakukan secara terus secara dalam talian ke dalam akaun peribadi miliknya kononnya untuk mengesahkan tempahan unit rumah berkenaan.

Katanya, selepas pulang ke rumah dia memindahkan wang ke akaun jurujual berkenaan sebagai pembayaran deposit namun mereka diminta untuk membuat pembayaran beberapa kali kepada lelaki berkenaan dengan beranggapan sebahagian proses jual beli.

Menurutnya, dia kemudiannya pergi ke pejabat pemaju berkenaan untuk menandatangani perjanjian jual beli pada awal Februari.

“Kami pergi bertemu dengan jurujual berkenaan dan saya telah menandatangani perjanjian jual beli namun apabila diminta jurujual berkenaan enggan memberikan salinan perjanjian itu kepada kami.

“Jurujual berkenaan berjanji akan memberi salinan perjanjian terbabit kemudian hari namun sehingga kini kami masih tidak menerima sebarang dokumen” katanya.

Pada penghujung bulan March Rahman dimaklumkan oleh syarikat pemaju terbabit bahawa pembayaran deposit yang dipindahkan ke akauan jurujual berkenaan tidak diterima oleh pihak syarikat.

Rahman berkata, sejurus menerima makluman itu dia lantas menghubungi jurujual terbabit dan terkejut apabila lelaki itu mengaku menggunakan wang berkenaan.

“Saya berasa kecewa dan berasa tertipu dengan tindakan jurujual berkenaan lalu terus pergi ke balai polis untuk membuat laporan Balai Polis Sentul, di sini.

“Saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang siasatan sedang dilengkapkan tetapi scammer ini ads rekod menipu sejak 2014 dan masih lagi bebas,” katanya.

Sementara itu Polis Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun kertas siasatan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker