‘Hadiah’ Benzema buat Giroud

DOHA: Kecederaan dialami Karim Benzema membuka pintu buat penyerang veteran, Olivier Giroud untuk mengetuai jentera serangan Perancis pada kempen Piala Dunia di Qatar.

Benzema hadir dengan reputasi tinggi pada kejohanan kali ini dan dianggap sebagai penyerang yang lengkap buat juara bertahan, Perancis manakala Giroud hampir pasti akan memanaskan bangku simpanan dan masuk sebagai pemain gantian.

Bulan lalu, Benzema yang beraksi bersama Real Madrid memenangi anugerah Ballon d’Or.

Bagaimanapun, sentuhan Benzema tidak dapat digunakan Les Bleus pada kempen kali ini apabila dia terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan paha kiri ketika menjalani sesi latihan pada Sabtu.

Dengan ketiadaan Benzema, Giroud dijangka ‘naik pangkat’ dan berada dalam kesebelasan utama untuk aksi pertama Kumpulan D menentang Australia, awal pagi Rabu ini.

Giroud turut mempunyai motivasi tambahan untuk menampilkan prestasi terbaiknya apabila dia hanya dibezakan dua gol berbanding Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak Perancis dengan 51 gol.

“Bagi saya ia dianggap hadiah dapat bermain di Piala Dunia, saya anggap diri saya seperti pemain muda yang kali pertama bermain dalam Piala Dunia.

“Ia akan menjadi bonus untuk mengatasi rekod Titi (Henry). Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada pengembaraan ini. Ia sesuatu yang membanggakan,” kata Giroud.

Penyerang berusia 36 tahun itu kelihatan ‘tajam’ bersama AC Milan musim ini dan sentiasa dahagakan kejayaan.

“Saya dalam keadaan baik. Saya tidak menetapkan sebarang had kepada diri saya. Keazaman saya untuk kekal di peringkat tertinggi tetap sama,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker