209 kes dera kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang

Pemilik butik pengantin tipu pelanggan ditahan
Foto hiasan

Georgetown: Pulau Pinang merekodkan 209 kes penderaan kanak-kanak dalam tempoh Januari hingga September tahun ini dengan kategori penderaan seksual paling tinggi dilaporkan iaitu 91 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Chong Eng berkata jenis penderaan lain yang dilaporkan meliputi pengabaian sebanyak 67 kes, fizikal (42) dan emosi sebanyak sembilan kes.

“Daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 97 kes diikuti Timur Laut 58 kes, Seberang Perai Utara 21 kes dan Barat Daya sejumlah 19 kes.

“Faktor berlakunya penderaan kanak-kanak antaranya berpunca daripada masalah kewangan, kecuaian ibu bapa, penjaga atau pengasuh, pengaruh siber dan kanak-kanak dikatakan mengikut teman lelaki.

“Punca lain termasuk pendera terbabit dengan jenayah, kanak-kanak hiperaktif, masalah kesihatan yang dihadapi sama ada oleh ibu bapa, penjaga atau pengasuh selain pengaruh rakan sebaya,” katanya.

Chong Eng (DAP-Padang Lalang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kumaresan Aramugam (PKR-Batu Uban) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mengambil tindakan segera di samping memberi sokongan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP) mengikut garis panduan ditetapkan JKM.

Langkah itu termasuk menyelamatkan kanak-kanak dalam tempoh 10 jam selepas aduan atau maklumat berkaitan penderaan diterima seterusnya membawa mangsa ke hospital untuk rawatan sewajarnya selain mendapatkan pengesahan Pegawai Perubatan.

Menurutnya, perintah sementara di bawah Seksyen 19, Akta Kanak-Kanak 2001 dan perintah tetap di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 akan diperoleh daripada mahkamah untuk menempatkan kanak-kanak di bawah jagaan individu yang layak dan sesuai.

Beliau memaklumkan mengikut peruntukan seksyen berkenaan mangsa turut atau ditempatkan di tempat selamat serta diberi khidmat nasihat dan intervensi kaunseling.

“Selain itu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak yang dilantik di bawah Seksyen 7 Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak pada peringkat komuniti setempat,” jelasnya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker