Didakwa lakukan amang seksual terhadap adik kandung

Oleh – Syeikh Baran


Didakwa lakukan amang seksual terhadap adik kandung
Anggota polis mengiringi tertuduh (tengah) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. -Foto ROSALWANI CHE SOH

Seorang bekas banduan kes dadah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dan fizikal terhadap adik kandungnya, kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap adik kandungnya yang berusia 17 tahun 5 bulan sehingga menyebabkan remaja itu memerhati dan mendengar visual aktiviti bersifat seksual.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 10 malam pada 6 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan di lokasi sama kira-kira pukul 11 pagi pada 8 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu melibatkan adik kandung yang masih bawah umur dan trauma akibat kejadian tersebut.

“Tertuduh juga tidak dibenarkan jamin memandangkan baru sahaja dibebaskan seminggu sebelum Syawal dari penjara atas kesalahan dadah,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin memandangkan perlakuan yang dibuat terhadap mangsa hanya sebagai demonstrasi.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh selain menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker