Croatia bukan pilihan ‘bookie’

DOHA: Croatia memenangi lima perlawanan terakhir mereka dan hanya tewas sekali dalam tempoh 16 bulan tetapi naib juara 2018 itu yang diketuai pemain tengah, Luka Modric akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Maghribi, esok tanpa sebarang harapan tinggi diletakkan ke atas mereka.

Skuad bimbingan Zlatko Dalic itu menampilkan aksi terpuji sebelum tewas di tangan Perancis pada aksi final, empat tahun lalu tetapi status naib juara itu tidak meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi tahun ini khususnya dalam kalangan ‘bookie’.

“Ia akan menjadi sukar. Tetapi ia juga baik untuk kami, kami tidak berdepan tekanan yang begitu banyak disebabkan kami melakukan sesuatu yang menakjubkan di Russia.



“Namun, kami masih berharap dan kami masih mahu mencapai lebih banyak kejayaan lagi,” kata penyerang, Andrej Kramaric.

Tanpa sebarang tekanan di atas bahu mereka, anak buah Dalic boleh fokus sepenuhnya terhadap kempen mereka kali ini dan meneruskan momentum yang dibina sebelum kejohanan bermula.

Croatia menjuarai saingan peringkat kumpulan kelayakan dengan hanya melepaskan empat gol selain tewas sekali saja iaitu di tangan Slovenia pada Mac 2021.

Mereka juga berada di tangga teratas kumpulan Liga Negara-Negara, mengatasi juara bertahan Piala Dunia, Perancis selain Denmark dan Austria.



Anak buah Dalic juga mencatat kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi pemanas badan terakhir mereka sebelum kempen di Qatar bermula.

Walaupun mereka kehilangan beberapa pemain utama yang membarisi skuad 2018 seperti penyerang Mario Mandzukic dan pemain tengah Ivan Rakitic, namun Croatia sebuah pasukan yang tidak ketandusan bakat baharu.

Modric yang turut beraksi pada 2018 dijangka membentuk gandingan mantap bersama Marcelo Brozovic dari Inter Milan dan Mateo Kovacic dari Chelsea bagi menggerakkan jentera tengah pasukan itu.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button