Cubaan seludup sisa logam gagal



Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan sebuah syarikat mengeksport sisa logam seberat 158,284 kilogram secara haram ke luar negara.

Pengarah JKDM Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kesemua sisa logam itu yang dibawa menggunakan enam buah kontena yang didaftar sebagai ‘copper flakes’ dan ‘aluminium flakes’ ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching di Pelabuhan Senari, di sini kira-kira jam 2.30 petang 12 Oktober lalu.

Katanya pemeriksaan yang dilakukan dalam pelaksanaan Operasi Demeter VIII 2022 oleh JKDM yang menyasarkan penyeludupan, mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM2,168,200 dengan nilai cukai dianggarkan RM204,820,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.



Ahmad berkata semua kontena berkenaan kemudian ditahan dan dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jalan Gedung di sini

Turut ditahan ejen penghantaran dan pemilik syarikat tempatan terbabit yang masing-masing berumur lingkungan 40 tahun.

Beliau berkata kesemua muatan sisa logam adalah barangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 dan pengeksportan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Justeru, Ahmad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a), Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.



METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker