Gol lewat Gakpo, Klaassen tewaskan Senegal

DOHA: Cody Gakpo menjaringkan gol lewat permainan pada penampilan pertamanya di Piala Dunia dan Davy Klaassen menambah jaringan pada akhir masa kecederaan ketika kemenangan 2-0 Belanda ke atas Senegal di Stadium Al Thumama, sebentar tadi.

Pengendali Belanda, Louis Van Gaal, memberikan penjaga gol Andries Noppert kap antarabangsa pertamanya dan dia membalas kepercayaan itu dengan menyelamatkan percubaan minit ke-73 Idrissa Gueye.

Pertahanan Belanda yang diterajui bintang Liverpool, Virgil van Dijk, cemerlang memastikan kubu skuad Oranje tidak dibolosi walaupun Senegal mengumpul empat percubaan tepat sepanjang tempoh permainan.



Jentera serangan Belanda juga tumpul daripada awal permainan sehingga pemain 23 tahun, Gakpo menewaskan penjaga gol, Edouard Mendy dengan menanduk hantaran lintang Frenkie de Jong pada minit ke-84.

“Ia perlawanan yang sukar dan kami tidak begitu berhati-hati dengan bola.

“Saya fikir kami boleh melakukan dengan lebih baik, tetapi kemenangan ini jelas memberikan kami kelegaan. Kami sememangnya memburu jaringan dan akhirnya kami berjaya,” kata Gakpo.

Pemain gantian, Klaassen bijak mencari ruang apabila Mendy menepis percubaan Memphis Depay dan memastikan bola menerjah gawang Senegal pada saat akhir permainan.



Senegal kehilangan tonggak utama, Sadio Mane dan tidak berupaya melakukan jaringan sehinggalah pada minit ke-65 apabila Boulaye cuba melepasi Noppert dari sudut sukar.

Juara Afrika itu tampak lebih tersusun pada babak kedua dan biarpun memperoleh sokongan daripada kelompok penyokong yang kecil, mereka masih tidak berupaya melakukan penyudah diinginkan.

Belanda kini mendahului Kumpulan A bersama Ecuador yang akan menjadi lawan mereka Jumaat ini.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button