Jalan licin punca kereta terbabas

Port Dickson: Jalan licin menjadi punca yang menyebabkan sebuah kereta terbabas lalu terbakar di Kilometer 9.2 Lebuhraya Seremban – Port Dickson awal pagi tadi.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, PBK 11, Mohammad Rosman Md Nor berkata, pemandu yang juga mangsa, Khairisyahrin Mukhtar, 45, selamat tetapi rakannya cedera ringan di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kami dimaklumkan kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki bersama rakannya nyaris hangus selepas kenderaan itu terbabas dan terus terbakar.

“Pihak bomba menerima laporan pada jam 6.49 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian yang jaraknya sejauh 9.2 kilometer menghala ke Seremban,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta terbakar membabitkan kerosakan 100 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius kepada mangsa dan bomba menggunakan dua aliran salur bagi membantu bagi memadamkan kebakaran.

“Api dapat dikawal dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, mangsa, Khairisyahrin berkata, keadaan jalan yang licin menyebabkan dia terbabas sebelum sedar api mula marak terbakar di bahagian enjin.

“Saya bersama rakan terus keluar daripada kenderaan kerana bimbang berlaku letupan kerana api tiba-tiba marak menyala.

“Dengan bantuan salah seorang pengguna jalan raya yang menghubungi bomba bagi memadamkan kebakaran itu namun keadaan kereta musnah teruk tetapi yang lebih penting saya dan rakan selamat,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker