Kerajaan campuran Perak: 3 ADUN BN, 7 ADUN PH angkat sumpah EXCO

KUALA KANGSAR: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak membabitkan tiga daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh mewakili Pakatan Harapan (PH), selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (EXCO) di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Kesemua mereka melafazkan sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, turut sama berangkat ke istiadat itu.



Tiga ADUN mewakili BN yang mengangkat sumpah ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja), kesemuanya daripada UMNO.

Baki tujuh ADUN daripada PH ialah ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin (AMANAH); A Sivanesan (Sungkai – DAP); Loh Sze Yee (Jalong – DAP); Teh Kok Lim (Aulong – DAP); Sandrea Ng Shy Ching (Teja – PKR); Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah – PKR); dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar – DAP).

Ia sekali gus menjadikan komposisi parti diwakili EXCO kerajaan campuran Perak yang baharu dibentuk bawah pentadbiran Menteri Besar daripada BN ialah DAP (empat), BN (tiga), PKR (dua) dan AMANAH (satu).

Mohd Zolkafly dan Shahrul Zaman sebelum ini juga adalah EXCO kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang mula memegang jawatan itu sejak Disember 2020 susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 5 Disember tahun sama selepas kehilangan majoriti sokongan ADUN.



Perak, sebelum pembubaran DUN pada 17 Oktober lalu, mempunyai 10 EXCO bawah pimpinan Saarani yang komposisinya membabitkan lima ADUN daripada BN, PAS (dua) dan BERSATU (tiga).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button