Ketidaktentuan politik, Ringgit lemah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit terus lemah berbanding dolar AS sepanjang hari ini berikutan ketidaktentuan akibat Parlimen yang tergantung dan kes COVID-19 China yang melonjak menyebabkan pelabur kurang berminat dalam sesi dagangan hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.5770/5850 berbanding dolar AS 4.5490/5565 ketika ditutup pada Khamis.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit yang lemah didorong oleh reaksi spontan terhadap risiko politik.



Di samping itu, selera risiko Asia menurun selepas berita perintah berkurung di beberapa bandar utama di China.

Negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu melaporkan kematian COVID-19 pertama negara itu dalam tempoh hampir enam bulan, menimbulkan kebimbangan mengenai langkah lebih ketat yang mungkin diperkenalkan untuk membendung jangkitan.

“Perintah berkurung China telah menyekat gelombang naratif pemulihan semula ringgit pada minggu lepas,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata walaupun ringgit bertindak balas secara negatif terhadap Parlimen yang tergantung, dalam jangka panjang, kerajaan campuran boleh memberi lebih banyak dasar perundingan dan lebih banyak semak dan imbang, yang akan memberi kesan positif kepada pasaran.



Minggu ini, pasaran juga akan memantau dengan dekat Indeks Pelopor September dan kadar inflasi Oktober yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat.

Inflasi Malaysia turun kepada 4.5 peratus pada bulan September.Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3107/3169 daripada 3.3091/3150 ketika ditutup pada Khamis, namun meningkat berbanding euro kepada 4.6827/6909 daripada 4.7146/7224, melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.2278/2337 daripada 3.2581/2637 sebelumnya, dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4036/4131 daripada 5.4069/4159.

Bernama





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker