Pakai lilitan ‘One Love’ kena kad kuning, denda



DOHA: Kapten beberapa pasukan kebangsaan Eropah tidak lagi diarahkan memakai lilitan lengan ‘One Love’ pada Piala Dunia Qatar 2022 selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengancam untuk menghukum pemain yang turun ke padang dengan memakainya.

Sebelum ini, persekutuan bola sepak England, Wales, Belanda, Belgium, Switzerland, Jerman dan Denmark masing-masing menyatakan kapten mereka akan memakai lilitan lengan sebagai sokongan kepada komuniti LGBT.

“Peraturan adalah sama bagi setiap orang,” kata FIFA. Ia menyebabkan negara terbabit terpaksa menuruti arahan itu.

Pemakai lilitan lengan ‘One Love’ itu akan dilayangkan kad kuning pada awal perlawanan, selain pemain dan persekutuan terbabit dikenakan denda dari segi kewangan.



Berdepan situasi sedemikian, pasukan berkenaan terpaksa menarik balik hasrat awal mereka. Kad kuning kedua ketika kejohanan akan menyebabkan pemain digantung satu perlawanan, walaupun lilitan lengan kapten boleh digilirkan.

“Kami sedia untuk membayar denda yang biasanya dikenakan kerana pelanggaran peraturan jersi dan mempunyai komitmen yang kuat untuk memakai lilitan lengan itu,” kata tujuh persekutuan itu dalam satu kenyataan bersama.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh meletakkan pemain kami dalam situasi yang mana mereka mungkin diketepikan atau terpaksa meninggalkan padang permainan.

“Kami amat kecewa dengan keputusan FIFA yang kami percaya tidak pernah berlaku sebelum ini – kami menulis surat kepada FIFA pada September memaklumkan mereka mengenai hasrat kami untuk memakai lilitan One Love bagi menyokong penyertaan setiap orang secara aktif dalam bola sepak dan tidak mendapat maklum balas. Pemain dan jurulatih kami kecewa kerana mereka menyokong kuat penyertaan setiap orang dan akan menunjukkan sokongan dalam cara lain.”



Sehingga pagi semalam, FIFA cuba mencapai kata sepakat, tetapi mereka percaya tiada jalan lain selain mengamalkan peraturan itu memandangkan kemungkinan kes serupa berlaku ketika kejohanan yang menyebabkan ada pemain dikenakan penggantungan.

Apa yang ingin diperjelaskan FIFA adalah perkara itu tiada kaitan dengan mesej susulan isyarat itu sebaliknya lebih kerana mahu menghalang sebarang isu politik mengganggu kejohanan.

Kini, sesetengah pasukan mempertimbangkan untuk membenarkan pemain mereka melutut sebelum sepak mula perlawanan, satu tindakan yang diterima oleh badan induk dunia itu.

AGENSI





Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker