Pemain Iran enggan nyanyi lagu kebangsaan, rai gol



DOHA: Jurulatih Iran, Carlos Queiroz melepaskan kemarahannya semalam apabila pemain diheret ke dalam krisis di negara sendiri, memberitahu warga negara itu supaya tidak mengganggu dan mempolitikkan pasukannya serta membiarkan mereka fokus terhadap kempen Piala Dunia.

Bercakap selepas pasukannya dibelasah England 6-2 pada perlawanan pembukaan mereka, Queiroz berkata pemainnya yang amat disegani di negara sendiri, dikritik hebat malah diancam berhubung isu yang tiada kaitan dengan bola sepak.

Team Melli menjadi tumpuan menjelang Piala Dunia, dengan ramai rakyat Iran meminta sokongan mereka mengenai salah satu cabaran berterusan terhadap kesahihan pemerintah ulama Iran sejak Revolusi Islam 1979.

Peminat menuduh skuad itu menyebelahi tindakan keras negara itu terhadap pergolakan, yang mana aktivis mengatakan lebih 400 orang terbunuh, termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak bawah umur.



“Kepada mereka yang datang mengganggu pasukan dengan isu tiada kena mengena dengan bola sepak, mereka tidak dialu-alukan kerana pemain ini hanya mahu bermain bola sepak,” kata Queiroz pada sidang akhbar.

“Biarkan mereka beraksi di tengah padang. Kerana inilah yang mereka mahukan. Mereka mahu mewakili negara dan rakyat, seperti mana-mana pasukan kebangsaan yang berada di sini. Semua pasukan kebangsaan ada isu di negara masing-masing.”

Protes itu membelenggu Iran sejak kematian wanita berusia 22 tahun, Mahsa Amini dua bulan lalu selepas penahanannya kerana melanggar peraturan berpakaian Islam yang ketat di negara itu.

Menjelang perlawanan malam tadi, tiada seorang pun pemain Iran menyuarakan sokongan terhadap demonstrasi, walaupun kapten Ehsan Hajsafi berkata kelmarin, pasukannya menyokong dan bersimpati dengan rakyat negara itu.



Namun bagi mempamerkan solidariti, pasukan itu enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan dan tidak meraikan dua gol mereka, mengikut tindakan sama yang dilakukan ahli sukan lelaki dan wanita negara itu.

Queiroz, yang membimbing Iran pada Piala Dunia 2018, berkata beliau berbangga dengan pemainnya di sebalik tekanan politik yang terpaksa mereka hadapi dan menggesa England serta lawan Kumpulan B seterusnya, Wales dan Amerika Syarikat untuk menyokong mereka.

“Saya harap… mereka menghargai pemain kami kerana kegigihan mereka untuk beraksi,” katanya.

“Kerana tidak betul apabila mereka hadir ke Piala Dunia kali ini dan meminta mereka melakukan perkara yang di luar tanggungjawab mereka, itu bukan misi mereka.



“Mereka berada di sini demi rakyat, untuk mewakili rakyat, membanggakan mereka, mencetus kegembiraan dan keseronokan kepada rakyat. Itulah sebabnya mereka berada di sini.”

REUTERS



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker