Bekas jururawat guna butiran kad bank pesakit

Oleh – Syeikh Baran


Bekas jururawat guna butiran kad bank pesakit
HOSPITAL Ng Teng Fong di Singapura. – AGENSI

Seorang bekas jururawat lelaki ditahan selepas didakwa menggunakan butiran kad bank pesakit di bawah jagaannya untuk melakukan beberapa transaksi tanpa kebenaran.

Polis dalam satu kenyataan memaklumkan lelaki berusia 23 tahun itu merupakan jururawat Woodlands Health yang dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong di Singapura semasa melakukan kesalahan tersebut.



Satu laporan polis dibuat pada 17 September 2022 selepas mangsa mendapati beberapa transaksi tanpa kebenaran dilakukan dengan menggunakan butiran kad banknya.    

Siasatan awal mendapati mangsa mendapatkan rawatan perubatan sebelum  dimasukkan ke hospital tersebut.

“Mangsa terkejut selepas ternampak seorang lelaki tidak dikenali sedang menyelongkar barangan peribadinya.

“Namun, dia tidak dapat memeriksa barang-barangnya kerana berada dalam keadaan mengantuk,” jelas polis.



Menurut polis, pasukan dari Jabatan Polis Jurong berjaya mengenal pasti identiti suspek lalu menahannya.

Siasatan menunjukkan tertuduh `menyalahgunakan kepercayaan diharapkan daripada kakitangan institusi kesihatan’ dengan mengakses butiran kad bank pesakit di bawah jagaannya.

Tertuduh berbuat demikian dengan mengakses telefon mangsa untuk memperolehi butiran perbankan dan melakukan `sejumlah kesalahan’ dengan menggunakan maklumat yang diperolehinya.

“Siasatan lanjut menunjukkan lelaki itu juga disyaki terlibat dalam beberapa kes serupa yang lain melibatkan mangsa yang merupakan pesakit hospital, dengan jumlah kerugian lebih S$12,000 (RM42,274),” jelas polis.



Lelaki itu didakwa di mahkamah dengan tuduhan menipu dan memperolehi akses tanpa kebenaran dengan niat untuk melakukan atau memudahkan  kecurian.

Tertuduh juga didakwa atas kesalahan melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran pada komputer dan akses tanpa kebenaran pada bahan komputer. 

Di bawah Kanun Keseksaan, sekiranya lelaki itu didapati bersalah mencuri, maka dia boleh berdepan hukuman penjara tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali. 

Sesiapa yang disabit kesalahan menipu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda. – AGENSI



Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button