Pos Malaysia rugi RM33.63 juta

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) berkurangan kepada RM33.63 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM43.90 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, hasil susut kepada RM492 juta daripada RM536.26 juta setahun sebelumnya kebanyakannya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dalam segmen pos dan logistik.

Pos Malaysia berkata, bagi tempoh kewangan sembilan bulan, kerugian bersihnya menyusut 67.4 peratus tahun ke tahun kepada RM69.25 juta walaupun hasil 10.3 peratus lebih rendah kepada RM1.49 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pos Malaysia berkata keuntungan lebih baik kepada kemerosotan nilai loji dan peralatan hartanah sebanyak RM46.7 juta termasuk dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya serta kos kakitangan lebih rendah tahun ini susulan daripada skim pemisahan bersama dan pengurusan kos berkesan secara berterusan yang dilaksanakan secara menyeluruh.

Ia melaporkan penurunan 18 peratus dalam hasil segmen pos kepada RM962.35 juta dalam tempoh ini kebanyakannya disumbangkan oleh kemerosotan dalam perniagaan kurier berikutan penurunan dalam jumlah keseluruhan bungkusan terutamanya daripada pelanggan kontrak.

“Walaupun hasil yang lebih rendah, kerugian sebelum cukai dikurangkan (sebanyak 61.4 peratus kepada RM81.61 juta) berikutan usaha pengurusan kos yang berkesan untuk mengoptimumkan kos operasi yang terbukti dalam kos pengangkutan dan penghantaran lebih rendah dicatatkan dalam tempoh kewangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, hasil segmen logistik menurun sebanyak 4.1 peratus kepada RM248.91 juta dalam tempoh sembilan bulan terutamanya daripada perniagaan pengurusan kargo (khususnya penghantaran barang) kerana hasil tahun lalu termasuk caj ‘demurrage’ (kelewatan mengutip barangan) dan simpanan yang sangat tinggi sebanyak RM19.1 juta.

“Larangan eksport arang batu yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia pada Januari 2022 juga memberi kesan buruk kepada hasil daripada perniagaan marin,” kata Pos Malaysia.

Disebabkan oleh hasil yang lebih rendah ditambah dengan kos tetap tertentu yang berlanjutan, segmen itu berubah kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM12.21 juta daripada keuntungan sebelum cukai RM405,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer dalam satu kenyataan berkata tinjauan prestasi kewangan kumpulan itu kekal mencabar, didorong oleh tekanan makroekonomi yang dijangka terus menekan pasaran e-dagang pasca pandemik yang sedia ada.

“Selain itu, penyumberan dalaman yang dipercepatkan oleh pasaran e-dagang, amalan penetapan harga yang agresif terus memberi tekanan kepada jumlah bungkusan bukan sahaja untuk Pos Malaysia tetapi untuk semua peserta kurier dan logistik di negara ini,” katanya.

Pos Malaysia akan terus memanfaatkan jangkauan yang tiada batasan untuk mengembangkan bahagian pasaran dalam segmen yang betul serta mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan kesan daripada masalah ekonomi makro semasa.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker