Terperangkap akibat kepala air

Oleh – Syeikh Baran


Terperangkap akibat kepala air
Pasukan penyelamat membawa mangsa menyeberangi sungai berkenaan menggunakan ‘safety line’.

Seramai 41 orang dari sembilan keluarga berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat kejadian kepala air ketika sedang berkhemah di tebing Sungai Yong, Bukit Goram di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 8.32 malam tadi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit telah digerakkan ke lokasi.

Katanya turut berada lokasi ialah dua pegawai polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu operasi menyelamat.

“Kesemua mangsa adalah berasal dari Bintulu dan datang berkhemah di tebing seberang sungai berkenaan sejak Sabtu lepas.

“Akibat hujan lebat yang melanda, air sungai naik secara tiba-tiba mengakibatkan kepala air yang deras dan kesemua mangsa terperangkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata pasukan operasi bertindak menyelamatkan kesemua mangsa dengan memasang ‘safety line’ menyeberangi sungai berkenaan kerana air agak deras pada paras kedalaman kira-kira 1.5 meter.

“Seterusnya anggota penyelamat menggunakan ‘personal line’ yang dipasang pada ‘safety line’ untuk membantu mangsa menyeberangi sungai seorang demi seorang sehingga selesai,” katanya.

Katanya operasi tamat kira-kira pukul 9.56 malam dengan kesemua mangsa tiada mengalami sebarang kecederaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker