Gangguan bekalan air berjadual di kawasan Seberang Perai

GEORGE TOWN: Kawasan Seberang Perai Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam bermula 2 hingga 4 Disember ekoran Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan menghenti tugas sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, dekat sini.

PBAPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan henti tugas sebahagian LRA Sungai Dua itu bagi membolehkan kerja penggantian injap berdiameter 1350mm dan 1200mm yang rosak di loji itu dapat dilaksanakan.

“Selain penggantian injap itu, PBAPP akan turut menjalankan kerja lain pada masa yang sama bagi mengelak gangguan bekalan air berulang di kawasan yang sama jika ia dijalankan secara berasingan.

“Kerja itu ialah pembaikan paip berdiameter 1200mm di Permatang Ara dan penyelenggaraan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Rumah Pam Bukit Minyak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT ) dan Seberang Perai Selatan (SPS) terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual itu.

Menurut kenyataan itu daripada jumlah itu, 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air.

PBAPP menganggarkan tempoh 48 jam untuk kerja fizikal di tapak dan tempoh pemulihan dalam sistem agihan bekalan air PBAPP.

“PBAPP akan memaksimumkan jumlah pengeluaran air di LRA Air Itam dan LRA lain di bahagian pulau bagi meminimumkan kesan di bahagian pulau. Selain itu, simpanan air di kolam takungan juga akan ditingkatkan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, bagi meminimumkan kesulitan pengguna yang terjejas, PBAPP bersama-sama dengan Pasukan Bomba Sukarela yang diselaraskan oleh kerajaan negeri akan menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki selepas 12 jam gangguan bekalan air berlaku.

PBAPP memohon maaf atas sebarang kesulitan sementara yang berlaku dan menasihatkan orang ramai agar menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan semasa gangguan air 48 jam itu.

“Sila hubungi Pusat Panggilan PBAPP di talian 04-255 8255 untuk sebarang pertanyaan,” menurut kenyataan itu.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker