Hari kebanggaan warga Arab

DOHA: Ia hari yang terlalu menggembirakan buat pasukan Arab yang beraksi pada Piala Dunia Qatar 2022, edisi sulung pernah diadakan di bumi Timur Tengah.

Malam tadi, Arab Saudi mengejutkan seluruh peminat bola sepak dunia dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina diketuai bintang ternama Lionel Messi di Stadium Lusail.

Sebelum kemenangan bersejarah itu, Arab Saudi hanya menang tiga perlawanan pada pusingan akhir Piala Dunia.

Beberapa jam kemudian di Stadium Education City, Tunisia meraih keputusan membanggakan apabila seri tanpa jaringan dengan Denmark, pada perlawanan yang tidak menyaksikan banyak peluang keemasan.

Suasana dalam stadium itu gegak-gempita dan amat sukar untuk mencari walau seorang peminat Denmak di tengah-tengah lautan penyokong Tunisia yang memakai baju atau jersi berwarna merah dan putih.

Sepanjang perlawanan itu, peminat Tunisia menyanyi, menari dan berteriak terhadap pengadil dari Mexico, Cesar Arturo Ramos, bila mana pegawai perlawanan itu membuat keputusan yang tidak menyebelahi mereka.

Mereka bersorak dan bertepuk tangan setiap kali pemain Tunisia menyentuh bola.

Bagi penyokong Arab Saudi dan Tunisia, menyaksikan persembahan bersemangat pasukan mereka di bumi Arab satu pengalaman yang terlalu mengujakan.

“Hari yang menakjubkan. Setiap warga Arab bergembira. Hari yang membanggakan sebagai bangsa Arab. Pertama Arab Saudi membuktikan kepada dunia kami boleh bermain menentang yang terbaik dan menang. Dan kini kami (Tunisia) membuktikan kami boleh melawan satu daripada pasukan terbaik di dunia dan tidak kalah serta tidak dibolosi,” kata seorang penyokong Tunisia, Zohra Dachraoui selepas menonton perlawanan itu.

Terdahulu, Messi – pemenang anugerah Ballon d’Or tujuh kali – gagal membantu Argentina yang tersungkur susulan kebangkitan mengagumkan Arab Saudi pada babak kedua sekalipun bintang Paris Saint-Germain itu membuka tirai jaringan menerusi tendangan penalti seawal minit ke-10.

“Bola sepak adalah satu permainan yang indah penuh dengan kejutan. Kami pasukan Arab, dijangka kalah kedua-dua perlawanan ini. Tiada siapa percaya kami boleh meraih keputusan sebegini. Tapi lihat, siapa yang meraikan kemenangan? Warga Arab,” kata Ayoub Gherbi, rakyat Algeria yang hadir ke Stadium Education City untuk menyokong Tunisia.

“Tunisia ternyata pasukan yang lebih bagus menentang pasukan yang setiap orang katakan satu daripada pasukan pilihan. Mereka bermain dengan amat bagus dan insya-Allah akan terus mencetus kegembiraan kepada orang Arab di mana-mana sahaja,” kata Gherbi, yang masih kekal bersama kelompok penyokong Tunisia menyanyi di bangku penonton lama selepas wisel penamat ditiup.

Selepas persembahan menggalakkan semalam, sesetengah penyokong Arab optimis mengenai peluang pasukan mereka melangkah lebih jauh pada kejohanan yang menampilkan 32 pasukan itu.

“Sejauh mana kami boleh mara? Sejauh mana? Saya katakan segala-galanya berkemungkinan. Kami (Arab) bermain di laman sendiri. Setiap pasukan Arab akan mendapat sokongan padu. Ini akan menyemarakkan lagi semangat setiap pemain pasukan Arab,” kata Moez Babboucha, seorang warga Tunisia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker