Individu rakam perbualan suara seperti Najib perlu dipanggil kenal pasti audio – Peguam



KUALA LUMPUR: Pendakwaan akan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenal pasti rakaman audio dikatakan perbualan antara Datuk Seri Najib Razak dengan kerabat diraja Arab.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu dalam permohonan pendakwaan supaya rakaman audio itu diterima masuk sebagai bukti dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib.

Terdahulu peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa individu yang merekodkan rakaman itu mesti dipanggil (untuk mengenal pasti rakaman audio terbabit).

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata, beliau tidak fikir individu itu akan berbuat demikian kerana sudah tentu dia akan mengaku melakukan sesuatu yang tidak betul.



Beliau berkata, rakaman audio itu melanggar hak asasi Najib mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 43 Akta SPRM.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah bahawa pendakwaan tidak menyatakan bagaimana rakaman terbabit diperoleh agensi berkenaan.

Muhammad Shafee menjawab, beliau akan terkejut jika pihak pendakwaan bersedia untuk menyatakan sumber bagaimana ia diperoleh dengan jelas.

“Saya akan terkejut (kerana ia akan mendedahkan) keadaan di negara iniā€¦ berhubung Cawangan Khas… dari segi kaedah mengintip perbualan telefon individu.



“Itulah sebabnya pendakwaan menyatakan ia boleh diterima masuk walaupun diperoleh (secara tidak sah), yang menghalang permintaan Yang Arif (supaya tidak melihat) bagaimana rakaman berkenaan ditemui, dan dalam kes ini bagaimana intipan itu dilakukan.

“Untuk membolehkan ia diterima masuk, rantaian audio dan asal usul serta sejarah rakaman hendaklah dipertimbangkan,” katanya.

Rakaman audio yang dipertikaikan itu dimainkan di mahkamah ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, memberi keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan kedengaran seperti Najib.

Dalam rakaman itu, suara seperti Najib memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).



Menurut pendakwaan, rakaman itu harus diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM, iaitu ‘peruntukan khas’ yang mengatasi Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen.

Sementara itu bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang pada awalnya dijangka memberi keterangan terhadap Najib, esok, bagaimanapun tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.

Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah, beliau menerima pesanan WhatsApp daripada pegawai penyiasat bahawa Zeti Akhtar cuti sakit selama dua hari.

Beliau berkata, pegawai penyiasat menerima pesanan ringkas itu daripada peguam Zeti Akhtar.



Terdahulu pada awal prosiding, hari ini, Ahmad Akram memaklumkan bahawa Zeti Akhtar bersedia menjadi saksi dan berkemungkinan akan dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, esok.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker