Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu besbol

Melaka: “Saya masih trauma hingga hari ini, masih teringat bagaimana penjenayah itu pecahkan tingkap kereta dan menjerit meminta beg,” itu kata mangsa samun Gan Chui Lan, 66.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam Sabtu lalu, warga emas terbabit bersama suaminya Gue Boon Guan, 65, berdepan detik cemas selepas disamun dua lelaki bersenjatakan kayu besbol di hadapan rumah mereka di Taman Muhibah, Klebang Besar, di sini.

Menurutnya, ketika itu mereka berdua baharu pulang dari mengikuti seminar di Bandaraya Melaka dan sejurus suaminya turun dari kenderaan untuk membuka pintu pagar tiba-tiba datang sebuah motosikal yang tidak dikenali.

“Melihat seorang daripada mereka datang ke arah kereta dan ingin memecahkan tingkap saya segera keluar melalui pintu pemandu bagi menyelamatkan diri.



“Walaupun ketika itu amat takut dan cemas namun saya cuba untuk tidak panik kerana bimbang perkara buruk akan berlaku.

“Ketika tingkap kereta pecah saya terdengar dia menjerit meminta beg membuatkan saya membaling beg ke dalam kawasan pagar rumah lalu menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Menurut pesara swasta itu, nekad inginkan begnya miliknya, penjenayah terbabit bertindak memanjat pagar kediamannya sebelum melarikan diri selepas memperoleh beg itu.

“Suami turut dipukul dengan kayu besbol di bahagian kaki ketika penjenayah meminta dompet.



“Mujurlah tiada kecederaan serius, saya hanya calar di pipi kiri akibat terkena serpihan kaca tingkap yang pecah.

“Kejadian berlaku amat pantas kerana sebaik anak keluar selepas mendengar saya menjerit kedua-duanya sudah melarikan diri bersama dompet suami dan beg milik saya,” katanya yang kerugian wang tunai kira-kira RM400.

Menurutnya, suaminya membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga, kira-kira jam 11.25 malam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, berikutan beberapa kejadian jenayah yang dilaporkan berlaku di kawasan itu, pihaknya meminta kerjasama polis untuk meningkatkan rondaan.

“Dua, tiga bulan kebelakangan ini ada kejadian pecah rumah juga berlaku, secara tidak langsung mengganggu-gugat kehidupan penduduk.

“Justeru saya akan berjumpa dengan pihak polis untuk meminta kerjasama kekerapan rondaan kerana dengan kehadiran penguat kuasa penjenayah gentar melakukan aktiviti jenayah,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker