Lewandowski terlepas penalti

DOHA: Penyerang Poland, Robert Lewandowski gagal menyempurnakan sepakan penalti di babak kedua ketika pasukannya seri 0-0 menentang Mexico dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia di Stadium 974, Doha, sebentar tadi.

Lewandowski dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Hector Moreno 11 minit selepas babak kedua bermula dan penyerang Barcelona itu sendiri mahu mengambil sepakan, namun diselamatkan penjaga gol, Guillermo Ochoa.

Kegagalan menyempurnakan peluang keemasan itu bermakna Lewandowski masih belum menjaringkan sebarang gol di peringkat Piala Dunia.

“Hari ini saya berasa simpati terhadap Robert kerana saya tahu keinginannya untuk menjaringkan gol di Piala Dunia.



“Setakat ini, dia belum dapat melakukannya tetapi saya harap peluang akan tiba kepadanya pada perlawanan akan datang,” kata jurulatih Poland, Czeslaw Michniewicz.

Sebelum itu, di babak pertama, Alexis Vega mensia-siakan dua peluang terbaik untuk meletakkan Mexico di depan.

Mexico memasukkan penyerang Wolverhampton Wanderers, Raul Jiminez ketika permainan berbaki 20 minit, namun pemain yang baru pulih daripada kecederaan itu tidak dapat membawa impak seperti diharapkan pengendali, Gerardo Martino.

Dalam pada itu, Martino berkata, pasukannya berhak memperoleh kelebihan pada separuh masa pertama.



“Kami berada di depan pada babak pertama. Penalti itu adalah satu kesilapan daripada kami.

“Namun, secara asasnya saya fikir kami harus meraih kemenangan sekiranya berdasarkan apa yang dilakukan pada babak pertama.” – Reuters

Terdahulu, dalam arena sementara yang menggunakan 974 kontena kapal dikitar semula, penyokong Mexico yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan.

Mereka menyanyikan lagu kebangsaan Mexico, sekali gus menyentuh hati Vega yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia sehingga menangis.

Sebaik saja sepak mula, penyokong terus meningkatkan sokongan dengan melakukan ‘ombak’ Mexico, manakala struktur logam unik di stadium berkenaan bergema ketika melompat dengan sorakan ‘Mexico, Mexico!’.

Keputusan berkenaan menyaksikan Arab Saudi yang mengejutkan Argentina 2-1 pada perlawanan sebelum itu kini mendahului Kumpulan C.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker