Pencerahan YB Azalina Mengenai Krisis Politik Pasca PRU 15

Pencerahan YB Azalina Mengenai Krisis Politik Pasca PRU 15

Pencerahan YB Azalina Mengenai Krisis Politik Pasca PRU 15

PRU 15 Telah Berlangsung Pada 19 November 2022, Apa Yang Sedang Berlaku Sekarang?

 

Susulan keputusan rasmi PRU15, tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Apakah Implikasinya?

 

Tiada parti politik atau gabungan parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Kita kini mempunyai ‘hung parliament’ atau parlimen yang tergantung.

Apa Langkah Seterusnya?

 

Semua parti politik dan gabungan parti politik, yang telah memperoleh kerusi parlimen, perlu berunding untuk membentuk kerajaan gabungan pasca-pilihan raya (KG-PPR).

Malah, YDP Agong telah menitahkan agar semua ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik berusaha membentuk KG-PPR.

Ianya penting untuk mengenal pasti calon perdana menteri.

Bagaimana KG-PPR Di Bentuk Dan Bagaimana Calon Perdana Menteri Di Kenalpasti?

 

Ahli parlimen daripada pelbagai parti politik dan gabungan parti politik, perlu berkumpul secara en bloc dengan parti politik dan/atau gabungan parti politik lain untuk secara kolektif menyokong pembentukan KG-PPR dan mengenal pasti calon perdana menteri di kalangan mereka.

Apakah Langkah-Langkah Yang Di Peruntukkan Di Bawah Undang-Undang Untuk Memastikan Ahli Parlimen Dari Parti Politik Masing-Masing Akan Bergabung Untuk Menyokong Pembentukan KG-PPR Dan Mengenal Pasti Calon Perdana Menteri?

 

Terdapat 2 peringkat berhubung perkara ini.

Di peringkat pertama, Undang-undang Larangan Lompat Parti yang digubal pada awal tahun ini melalui pindaan perlembagaan dengan memasukkan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan, akan memastikan kepatuhan disiplin ahli-ahli parlimen.

Di bawah Undang-undang Larangan Lompat Parti, seorang ahli parlimen daripada parti politik perlu mengosongkan kerusinya jika:

a) dia meletakkan jawatan sebagai ahli parti politik, atau

b) dia berhenti menjadi ahli parti politik itu.

Di sini, mekanisme pemberhentian keahlian sesebuah parti politik akan memastikan kepatuhan disiplin.

Tetapi, bagaimanakah ia dapat dicapai?

Di peringkat kedua, parti politik boleh dan telah pun menetapkan pelbagai cara untuk memastikan ahli parlimen mematuhi arahan parti politik, sama ada melalui pindaan perlembagaan parti atau melalui satu set perjanjian, untuk memastikan ahli parlimen mengikut keputusan parti dalam isu-isu asas, yang juga merangkumi isu pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri.

Oleh itu, mana-mana ahli parlimen yang enggan menuruti keputusan parti, akan digugurkan iaitu ‘ceases to be a member’ keahlian partinya.

Perlu mengosongkan kerusi mereka di parlimen.

Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada ahli parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan kepatuhan disiplin parti.

Apakah Akibat Jika Segelintir Ahli Parlimen Enggan Mematuhi Arahan Parti?

Implikasi kolektif semua dokumen yang disebutkan diatas ialah a) semua ahli parlimen BN yang dipilih telah mengisytiharkan bahawa mana-mana kerusi yang mereka tandingi dan menangi adalah milik BN, dan b) Pengerusi BN mempunyai hak prerogatif untuk merundingkan pembentukan KG-PPR.
Ahli Parlimen BN masing-masing juga telah bersetuju bahawa mereka akan berhenti menjadi ahli BN jika mereka melanggar arahan BN di mana di bawah operasi Undang-undang Larangan Lompat Parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka di Parlimen.

Apakah Kaedah Sedia Ada Dalam Barisan Nasional Untuk Memastikan Dan Mengekalkan Kepatuhan Displin Parti?

 

Seperti yang dinyatakan di atas, BN telah mewujudkankan langkah untuk menguruskan disiplin parti, terutamanya di kalangan ahli parlimen yang dipilih.

Sebelum mereka menerima watikah dan pencalonan sebagai calon BN, semua calon BN telah menandatangani beberapa siri dokumen yang terdiri daripada surat tawaran, Akuan Berkanun, Perjanjian Pencalonan dan sumpah aku janji.

Bukankah Ini Tidak Berpelembagaan Kerana Ia Melanggar Hak Kebebasan Berpersatuan?

 

Ia tidak akan melanggar perlembagaan.

Dalam proses memperkenalkan Undang-undang Larangan Lompat Parti, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan telah dipinda, untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi ahli parlimen, tertakluk kepada Undang-undang Larangan Lompat Parti.

Implikasinya di sini ialah seorang ahli parlimen terikat dengan arahan parti, dan bukan lagi ‘ejen bebas’.

Memandangkan Undang-Undang Larangan Lompat Parti Membenarkan Penghijrahan Secara En Bloc, Bolehkah Parti Komponen Berpindah Ke Gabungan Parti Lain?

 

Ya, Undang-undang Larangan Lompat Parti secara tersirat membenarkan parti politik untuk berhijrah secara en bloc dari satu gabungan ke gabungan parti politik yang lain.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu diingat ialah Undang-undang Larangan Lompat Parti dalam mentakrifkan parti politik, tidak membezakan antara gabungan politik dan parti politik komponen.

Implikasinya di sini ialah jika gabungan politik sedia ada bertanding di bawah satu logo dan membentangkan satu manifesto pada PRU15, dan lebih penting lagi, jika calon-calon ini mendapat watikah mereka untuk bertanding PRU15 secara langsung daripada ketua gabungan parti politik masing-masing, gabungan ini adalah sebuah parti politik di bawah Undang-undang Larangan Lompat Parti.

Oleh itu, mana-mana parti komponen yang ingin meninggalkan gabungan parti politik sedia ada seperti yang dinyatakan di atas perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka telah berpaling tadah daripada parti politik tersebut.

Kredit:

DS Azalina Othman Said
Bakal Ahli Parlimen Pengerang
22 November 2022

 

Pencerahan YB Azalina Mengenai Krisis Politik Pasca PRU 15

 

Di Syorkan Untuk Anda:

Temui Kami:

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker