Pengerusi Penang Front Party antara 4 didakwa

BUTTERWORTH: Pengerusi Penang Front Party (PFP) dan tiga individu termasuk seorang wanita, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, dengan sejumlah 30 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja membabitkan 10 mangsa warga tempatan sejak Februari lalu.

Datuk Ooi Khar Giap, 55, dan tiga lagi tertuduh, iaitu Chye Lay Hoon, 52; Lim Yong Choon, 47; dan Woong Chew Hoe, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut 10 pertuduhan dibaca bersama, Khar Giap yang juga pengarah sebuah syarikat, dan Lay Hoon sebagai pengurus sumber manusia, didakwa mencapai niat bersama telah memperdagangkan 10 mangsa warga tempatan bagi tujuan buruh paksa.



Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Selatan, antara 14 Februari hingga 27 Oktober lalu.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, dua pekerja kepada pengarah syarikat itu, Yong Choon serta Chew Hoe masing-masing berdepan 10 pertuduhan bersubahat dengan Khar Giap dan Lay Hoon memperdagangkan manusia bagi tujuan buruh paksa di lokasi dan tarikh sama.

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.



Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Teh Yi Kai dan Pang Chuin Keat.

Kedua-dua peguam yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin ditetapkan pada jumlah yang munasabah memandangkan kesemua anak guam mempunyai tanggungan keluarga dan anak masih bersekolah.

Noor Aini kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM362,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Mereka juga dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.



Mahkamah kemudian menetapkan 4 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button