Perlis sudah muktamadkan senarai exco



Kangar: Kerajaan Perlis sudah memuktamadkan senarai nama yang akan membarisi barisan exco kerajaan negeri yang akan dilantik selepas ini.

Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli berkata, secara dasarnya pihaknya sudah mempunyai senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu yang akan dilantik menjadi exco selepas ini.

“Kita sudah ada nama secara dasarnya cuma ada sedikit lagi mungkin berlaku perubahan.

“Kita tunggu ‘lampu hijau’ daripada Perikatan Nasional (PN) Pusat dan senarai sudah pun dihantar semalam,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada hari pertamanya memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perlis secara rasmi di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Perlis, Persiaran Wawasan, di sini, hari ini.

Katanya dalam perkembangan lain pula, Mohd Shukri turut menjelaskan bahawa beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri mengenai keperluan dirinya untuk berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar.

“Saya tengah fikir dahulu nanti saya akan bincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri.

“Jikalau boleh, saya hendak tinggal di rumah saya sendiri dan rumah kediaman rasmi itu hanya digunakan kadang kala sahaja,” katanya.



Terdahulu, Mohd Shukri memulakan tugas secara rasmi pada hari pertama di Kompleks Dun Perlis, hari ini, selepas dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang kelapan semalam.

Beliau tiba di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dun itu dan mengimbas jarinya pada alat pengimbas jari pada jam 8.54 pagi sebagai simbolik memulakan tugasnya secara rasmi.

Kehadiran beliau turut disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

METRO





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker