DAP larang anjur sebarang bentuk sambutan, konvoi kenderaan

KUALA LUMPUR: DAP mengarahkan semua peringkat kepemimpinan parti supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun konvoi kenderaan susulan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, juga meminta semua pihak bertenang dan menghormati keputusan yang sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.

Loke yang menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebentar tadi, turut memaklumkan beliau baru mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kuching, Sarawak dan dalam perjalanan ke Istana Negara.



Pada jam 5 petang di istana, Anwar dijadual menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“DAP mengarahkan semua peringkat pimpinan parti supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun acara konvoi kenderaan. Kami meminta semua pihak bertenang dan menghormati keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” kata Loke.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban, turut memaklumkan kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah sebuah kerajaan perpaduan (unity government) yang merangkumi pelbagai gabungan parti politik.

“Kita perlu bekerjasama dan bersatu padu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi,” katanya lagi.



Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Presiden PKR dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button