DAP mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Sarawak

Kuching: DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan yang dibuat pemimpin parti itu, selama ini.

Pemohonan maaf itu disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di sini, hari ini.

Menurut Loke, pertemuan di kediaman Abang Johari di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Petra Jaya itu berlangsung dalam suasana mesra.



“Pada pagi ini, saya membuat kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg di kediaman beliau di Kuching.

“Dalam pertemuan itu,kami mengadakan perbincangan secara mesra dan saya memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.



Menurutnya lagi, beliau berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button