Datuk Seri Anwar tiba di Istana Negara

Kuala Lumpur: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara, di sini, bagi Istiadat Angkat Sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun tiba bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan menaiki kereta jenis BMW berwarna hitam jam 4.32 petang tadi.

Beliau juga sempat menurunkan tingkap kenderaan dan melambai ke arah pengamal media yang berkumpul di Pintu Utama Istana Negara seawal jam 7 pagi tadi.

Kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dilihat memasuki Pintu Utama Istana Negara jam 4.11 petang tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Sebelum ini, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan berada dalam keadaan tergantung atau Hung Parliament selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU-15, pada 19 November lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata, PH memperoleh 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker