Jepun pula cipta kejutan besar Piala Dunia

DOHA: Selepas Arab Saudi mengejutkan Argentina 2-1, kini tiba giliran Jepun pula menunjukkan kualiti bola sepak Asia apabila menundukkan Jerman 2-1 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2022.

Ketika Jerman kendalian Hansi Flick sibuk menunjukkan sokongan terhadap pemakaian lilitan pelangi, Jepun memberi tumpuan kepada usaha bagaimana untuk membolosi gawang dikawal Manuel Neuer.

Jerman mendahului aksi babak pertama di Stadium Antarabangsa Khalifa apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-33 selepas penjaga gol, Shuichi Gonda mengasari David Raum.



Ilkay Gundogan menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

Juara dunia empat kali itu menambah jaringan menerusi Kai Havertz, tetapi dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan kedudukan ofsaid.

Jepun juga menyaksikan jaringan penyerangnya, Daizen Maeda dibatalkan sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Jepun menggandakan asakan dan pujian harus diberikan kepada Gonda yang cemerlang menafikan deretan percubaan Jerman.



Kemasukan pemain gantian, Ritsu Doan dan Takuma Asano membawa impak buat Jepun dalam tempoh 15 minit terakhir dengan kedua-dua pemain itu menemui sasaran.

Doan menyamakan kedudukan pada minit ke-75, manakala Asano meledak gol kemenangan Jepun lapan minit kemudian.

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat Jerman dalam aksi pembukaan kejohanan utama selepas tewas di tangan Mexico ketika Piala Dunia 2018 dan kepada Perancis di Euro 2020.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button