Kebijaksanaan Seri Paduka kekalkan keharmonian di sebalik kemelut Parlimen tergantung

NEGARA kita sedang menghadapi kemelut untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini rentetan keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada satu pun parti berjaya menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sudah lima hari pilihan raya berlalu, namun negara kita masih belum ada Perdana Menteri. Pada saat-saat genting begini, rakyat sangat memerlukan kepakaran, kebijaksanaan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu, seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dari segi undang-undang, bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri, ia tertakluk kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk memilih siapakah calon Perdana Menteri yang pada hemat baginda amat sesuai. Perkara ini adalah sangat jelas. Jika kita lihat dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 40(2)(a) yang memperuntukkan bahawa:

“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) melantik seorang Perdana Menteri;….”



Walaupun begitu kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) ini perlu dibaca bersama dengan Perkara 43(2)(a).

Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri. Pertama, seseorang itu hendaklah sememangnya menjadi ahli Dewan Rakyat. Maksudnya ialah seseorang itu memenangi kerusi Parlimen dalam PRU.

Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat (judgment) Yang di-Pertuan Agong bahawa seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong hendaklah berkeyakinan dalam keputusan baginda bahawa seseorang itu mempunyai ‘kepercayaan’ majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Frasa ‘Kepercayaan Ahli Dewan Rakyat’ ini pula adalah bermaksud tidak mewajibkan bilangan ‘kerusi’ majoriti, tetapi ‘kepercayaan’. Pada kebiasaannya syarat ‘kepercayaan’ ini ditetapkan melalui bilangan kerusi. Bilangan kerusi memang memudahkan tugas Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan berkaitan perkenan baginda kepada seseorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.



Maka, perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, demi merungkai kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca-PRU15 menjadi satu langkah sangat bijak untuk negara kita.

Perbincangan khas itu bertujuan membolehkan baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri, demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas wakil pimpinan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini semua adalah proses bakal dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong dalam memilih Perdana Menteri pasca-PRU15. Ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat harus bersyukur kerana kita mempunyai Institusi Beraja sangat bertanggungjawab dan bijaksana mengambil berat keadaan semasa ini. Kita sebagai rakyat sentiasa berdoa agar Allah SWT mudahkan segala urusan perlantikan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu ini.

Rakyat sangat berharap agar di bawah pimpinan kerajaan baharu ini, keadaan ekonomi negara akan menjadi lebih mampan dan mantap, seterusnya rakyat yang berbilang kaum akan hidup dengan harmoni di bawah naungan kerajaan bersih dari segala anasir tidak sihat seperti rasuah.

Dari rentetan peristiwa ini, jelas menunjukkan kebijaksanaan dan keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap isu berlaku dalam kalangan rakyat. Raja-Raja Melayu diketuai Yang di-Pertuan Agong, berbincang dan berusaha bagi memastikan negara ini berada dalam keadaan aman dan terkawal.

Bak kata bidalan, ‘berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat.’ Dengan pendekatan lebih telus, terbuka dan adil, keharmonian negara masih dapat dikekalkan. Patik sebagai rakyat menjunjung kasih, Tuanku!

Ternyata, negara, raja dan rakyat sama sekali tidak boleh dipisahkan. Negara harus mempunyai seorang ketua bijaksana dan adil. Negara tanpa seorang ketua adalah ibarat kapal berlayar di lautan tanpa nakhoda.

Justeru, kita seharusnya berbangga mempunyai Ketua Utama Negara seperti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Tuanku ialah payung kepada rakyat. Pengorbanan dalam menangani krisis negara amat kami hargai dan sanjung tinggi. Semoga keharmonian dan kesejahteraan negara akan terus kekal dengan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu. Daulat Tuanku!

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker