Ketidakstabilan politik berisiko tangguhkan projek mega

KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan politik domestik ketika ini susulan situasi Parlimen tergantung menimbulkan kebimbangan terhadap potensi projek infrastruktur mega ditangguhkan atau disemak semula, demikian menurut penganalisis.

Sebelum ini, lebih banyak kerja berkaitan projek infrastruktur awam dijangka dianugerahkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan kebanyakan projek infrastruktur utama yang sedang berjalan kini sudah berada di penghujungnya termasuk MRT2, LRT3 dan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo.

Antara projek yang dijangka dianugerahkan selepas PRU15 termasuk MRT3, Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Lebuhraya Central Spine Road dan pelbagai projek tebatan banjir dan hospital.

TA Securities menjangkakan risiko penurunan terhadap pertumbuhan kekal memandangkan beberapa projek pembinaan dibiayai kerajaan dijangka disemak semula memandangkan belum ada keputusan akhir mengenai pembentukan kerajaan baharu.



Malah, firma pembrokeran itu berkata, beberapa perniagaan juga mungkin menangguhkan keputusan pelaburan mereka sehingga mendapat kejelasan dalam dasar kerajaan baharu.

Namun begitu, ia tidak menjangkakan keseluruhan ekonomi Malaysia akan terjejas teruk walaupun prospek pertumbuhan bagi sektor pembinaan mungkin tidak stabil menuju ke depan.

“Ia berikutan sumbangan sektor pembinaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil dan kurang daripada empat peratus (3.7 peratus pada 2021 atau 3.5 peratus pada suku ketiga 2022).

“Kami percaya bahawa potensi kelembapan dalam sektor pembinaan akan ditampung oleh sektor lain seperti perkhidmatan dan pembuatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.



Pada PRU15, tiada parti politik atau gabungan bertanding berjaya meraih majoriti 112 kerusi menyebabkan Parlimen tergantung.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank dalam nota penyelidikannya menjangkakan ketidaktentuan politik menimbulkan kebimbangan pelaksanaan projek mega seperti MRT3 akan disemak semula atau ditangguhkan.

Ia berkata, projek infrastruktur mega seperti MRT3, yang mengintegrasi sistem pengangkutan awam di Lembah Klang mewujudkan kesan limpahan pelbagai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, terutama permintaan domestik.

Katanya, menuju ke depan, jika dasar perniagaan yang betul dilaksanakan, ia percaya Malaysia akan dapat menjadi destinasi aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam kalangan syarikat multinasional (MNC).

“Negara akan berada dalam kedudukan baik untuk menarik pelabur asing disebabkan oleh infrastruktur negara yang baik, tetapi yang lebih penting, prospek kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang lebih baik.

“Ia akan memberikan sedikit keseimbangan untuk kemungkinan peningkatan kos menjalankan perniagaan daripada pelarasan subsidi, kos buruh, gaji minimum yang lebih tinggi terhadap projek pelaburan,” katanya.

Affin Hwang Investment Bank percaya bahawa apabila tinjauan terhadap aliran FDI global dan pelaburan domestik bertambah baik, keadaan itu akan membawa kepada realisasi pelaburan realisasi pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Keadaan itu, katanya akan mengekalkan momentum pertumbuhan pelaburan negara ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker