‘Kita sudah berusaha, tiba masanya ‘move on”, kata pemimpin PAS

KUALA LUMPUR: Beberapa pimpinan PAS menyatakan mereka reda dan menerima ketentuan Allah susulan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang menang di kerusi Parlimen Pendang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mencuba yang terbaik untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan.

“Kita sudah berusaha, kita reda dengan segala ketentuan Allah SWT. Insya-Allah ada hikmah,” katanya di Facebook.

Sementara itu Nurul Amin Hamid yang menang di kerusi Parlimen Padang Terap pula berkata, beliau menerima takdir yang telah ditentukan.



“Setelah berikhtiar, kita reda dengan ketentuan Allah. Perjuangan Islam tidak akan berhenti. Move on.

“Insya-Allah saya akan memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan Padang Terap. Doakan saya,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyeru penyokong PAS mengharapkan keajaiban.

“Teruskan istighfar moga Allah berikan keajaiban. Hikmah dan ilmu Allah itu sangat luas. Kita akan lalui hari yang mendatang yang kita tidak tahu mengenainya. Kita juga akan mendengar peristiwa yang tidak disangka.



“Betulkan diri dengan tali Allah. Allah pasti bersama kita. Hari ini bukanlah pengakhiran, esok masih ada,” katanya.

Pengumuman pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Presiden PKR itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Bukan sekali dua anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terlepas peluang untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu baik ketika masih bersama UMNO ataupun selepas menerajui PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan media selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sementara itu, BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Semua pihak diminta untuk tidak menderhaka walaupun tidak suka atau kecewa dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker