Hidup bersatu padu ,ekonomi lebih mampan

 

Oleh Pena Merah

Hidup bersatu padu ,ekonomi lebih mampan
Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta isteri masing-masing hadir di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2024 dan merasmikan Majlis dengan mengaul “Yee Sang”

Sambutan Tahun Naga sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini diharapkan terus mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, selain itu sambutan yang turut diraikan masyarakat bukan Cina juga diharap membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

Menurutnya, semangat kebersamaan dalam kepelbagaian sudah lama menjadi amalan di Sarawak dan ia diharap terus menjadi budaya seterusnya memastikan kestabilan yang menjamin ekonomi lebih baik.



“Dalam Tahun Naga ini diharap kita lebih makmur, ekonomi kita lebih mampan dan masyarakat berbilang kaum dan agama terus mengamalkan hidup bersatu padu.

“Dengan masyarakat yang bersatu padu kita dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan lebih lestari untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mais Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Perpaduan Negara; Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Menteri Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta tiga timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.



Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang pertama dianjurkan kerajaan Sarawak itu.

Selain itu, Abang Johari berkata, dengan ekonomi yang semakin baik serta pendapatan yang semakin meningkat, beliau yakin memudahkan usaha kerajaan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Sementara itu, Aaron pula berkata, perayaan yang disambut sesuatu kaum menjadi landasan mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Inilah masa terbaik untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya beramah mesra sesama sendiri seterusnya mengukuhkan perpaduan masyarakat yang menjadi matlamat kita,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker