Mayat kedua daripada empat mangsa bot karam di perairan Selangor ditemukan – APMM

SHAH ALAM, 11 Okt — Mayat kedua daripada empat mangsa yang dilaporkan hilang dalam dua insiden bot karam, di perairan Selangor pada Khamis lepas dijumpai terapung pada kedudukan dua batu nautika, barat daya Pantai Kelanang, Kuala Langat, pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahman, 66, ditemukan lengkap berpakaian dan dibawa ke jeti Kelanang, di Banting untuk proses pengecaman.

“Mangsa (Abdul Rahman) adalah nelayan yang keluar mencari udang bersama seorang anaknya dalam satu insiden bot fibre karam di Tanjung Sepat pada Khamis lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut dan operasi mencari serta menyelamat di perairan Tanjung Sepat ditamatkan pada 1.00 tengah hari.



Sementara pencarian dua lagi mangsa bot karam diteruskan meliputi kawasan seluas 105 batu nautika persegi di perairan Kuala Selangor, sehingga pukul 7.00 malam ini, katanya.

Dalam insiden di perairan Tanjung Sepat pada pukul 5.25 petang Khamis itu, bot dinaiki mangsa bersama anaknya, Mohd Farizal Abdul Rahman karam akibat cuaca buruk namun anaknya berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain.

Sementara dalam insiden pada 4 petang Khamis, sebuah bot nelayan yang dikendalikan lima kru telah karam akibat dipukul ribut pada kedudukan 23.08 batu nautika dari muara Kuala Selangor dan dua kru berjaya diselamatkan.

Dengan penemuan mayat Abdul Rahman pagi tadi, pihak berkuasa masih mencari dua lagi mangsa karam di perairan Kuala Selangor, katanya.



Semalam, mayat pertama daripada insiden bot karam itu ditemukan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada kedudukan 23 batu nautika barat daya Kuala Selangor.

Menurut Mohammad Rosli, agensi terlibat dalam operasi berkenaan ialah TLDM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan badan bukan kerajaan.

— BERNAMA

Timbalan pendakwa raya direman 6 hari



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button