Rakyat dinasihatkan terima baik proses demokrasi pelantikan PM

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani meminta semua rakyat di negara ini menerima dengan baik proses demokrasi berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah mengikut lunas demokrasi seperti yang ditetapkan perlembagaan sedia ada.

“Saya menasihatkan semua pihak menerima proses ini dengan baik tanpa perlu mewujudkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat.

“Ini adalah demi kepentingan rakyat negara ini bagi memastikan keselamatan dan keamanan kekal terpelihara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Menurutnya, tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah memastikan proses peralihan kepimpinan kerajaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

“PDRM tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan sebarang cubaan yang mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PDRM juga sedia maklum berhubung perancangan pihak tertentu yang ingin mengadakan perhimpunan dalam masa terdekat berhubung kemelut membabitkan parti politik.

“Saya menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan cuba tidak cuba mencetuskan kekecohan.



“Tindakan tegas akan diambil oleh PDRM bagi mana-mana penyokong parti politik atau pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sebarang provokasi serta menimbul dan membangkitkan isu perkauman dan agama,” katanya.

Menurutnya, orang ramai terutama pengguna dan pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan untuk menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan bagi mengelak mencetuskan kegusaran masyarakat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker