Ringgit melonjak tinggi 1.5 peratus, jangkaan kemelut politik hampir berakhir

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia melonjak tinggi hampir 1.5 peratus dengan mengukuh melebihi 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat setakat jam 1 tengahari berikutan kemelut politik yang melanda negara akan berakhir tidak lama lagi.

Turut mendorong kenaikan mata wang tempatan itu adalah apabila pelabur mengalu-alukan berita positif daripada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada November yang mana membayangkan bahawa momentum kadar kenaikan kadar faedah negara itu yang lebih perlahan selepas ini.

Dalam perkembangan terbaru pentas politik domestik, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini juga bagi membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.



Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada jam 10.30 pagi ini, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Sehari sebelum itu, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker