Itu anak saya.

Kuala Lumpur: “Jangan tuduh dan kongsi sesuatu tanpa usul periksa… itu gambar anak saya dan dia bukan kanak-kanak lelaki yang memandu kereta hingga terbabit kemalangan di Langkawi itu,” kata seorang lelaki dikenali sebagai Izanie.

Izanie, 38, tampil menafikan kanak-kanak berusia enam tahun yang terbabit kejadian menggemparkan orang ramai pada Selasa lalu adalah anaknya.

Ia susulan penularan satu video yang memaparkan seorang kanak-kanak memandu simulator kereta lumba di media sosial yang didakwa sebagai anak lelakinya yang mendapat pelbagai reaksi.

Izanie berkata, mereka sekeluarga sama sekali tiada kaitan dengan kes kemalangan berkenaan dan mahu netizen menghentikan penularan video atau tangkap layar gambar anaknya.

“Memang betul dalam video dan gambar yang tular itu adalah anak saya tetapi dia tiada kaitan dengan kejadian di Langkawi dan kami tinggal di Sentul, di sini. Anak saya juga bukan kanak-kanak lelaki yang pandu kereta itu.

“Saya mohon orang ramai tidak berkongsi lagi video dan gambarnya. Saya baca semua komen netizen yang mana semuanya menyalahkan kami dan kami sangat kesal dengan tindakan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia juga kesal dengan komen netizen yang menyalahkan permainan simulator berkenaan kerana baginya ia tidak wajar disalahkan, malah dia membenarkan anak lelakinya berusia empat tahun bermain simulator itu di bawah pengawasannya.

“Saya berkongsi minat dengan anak dalam bidang permotoran dan lumba kereta. Simulator itu dibeli untuk kegunaan saya dan baru sebulan lalu kami dedahkan kepada anak tetapi dia bermain di bawah pemantauan saya dan isteri.

“Kami juga selalu menerangkan kepadanya yang dia hanya boleh bermain simulator dan dia sendiri faham perkara itu, malah kunci kereta kami juga memang disimpan di tempat selamat,” katanya.

Menurut Izanie, individu pertama yang memuat naik hantaran itu sudah meminta maaf, namun dia kesal orang ramai masih ada yang berkongsi video dan gambar anaknya sehingga berlaku salah faham.

“Kalau tular cerita betul dan positif tak mengapa, ini cerita tidak tepat. Kalau perkara ini masih terus berlarutan hingga mencemarkan imej kami, saya tidak teragak-agak ambil tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak di Langkawi dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.

Sebelum ini juga, cerita berunsurkan misteri timbul berdasarkan perkongsian rakaman audio perbualan aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial antara seorang wanita dan kanak-kanak dipercayai yang memandu kereta itu.

Satu mesej yang dikongsi di WhatsApp itu juga menyatakan berdasarkan cerita orang kampung yang didakwa rapat dengan ibu kanak-kanak itu memaklumkan pemandu kereta adalah orang tua berbadan besar, hitam dan berbulu. orang tua berbadan besar, hitam dan berbulu.

Dakwa mesej itu juga, seorang lagi lelaki digelar ‘pak cik’ dikatakan duduk di sebelah, manakala seorang lagi duduk di belakang, selain mendakwa kanak-kanak lelaki itu duduk di riba lelaki tua itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker