Gaji naik 5.44%, 5.43% pada tahun 2023



Petaling Jaya: Gaji untuk eksekutif dan bukan eksekutif di Malaysia dijangka meningkat masing-masing sebanyak 5.44 peratus dan 5.43 peratus pada tahun 2023, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kira-kira 90 peratus syarikat yang dikaji menyatakan prestasi pekerja sebagai kriteria utama untuk menentukan kenaikan gaji eksekutif dan bukan eksekutif.

“Responden perniagaan nampaknya positif bahawa ekonomi Malaysia secara amnya akan stabil tahun depan walaupun dijangkakan kemelesetan global akan berlaku.

“Ini adalah berikutan pemulihan positif kebanyakan perniagaan sejak pembukaan semula ekonomi selepas pandemik (Covid-19),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tinjauan Gaji MEF edisi ke-28 untuk Eksekutif dan Bukan Eksekutif di sini, kelmarin.



Beliau berkata, kaji selidik itu juga menunjukkan 93 peratus majikan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja eksekutif dan bukan eksekutif pada 2022, peningkatan ketara daripada 65.2 peratus dan 66.4 peratus pada 2021.

Syed Hussain berkata, tinjauan itu menunjukkan purata kenaikan gaji bagi eksekutif dan bukan eksekutif pada 2022 adalah masing-masing pada 5.26 peratus dan 5.35 peratus dengan lebih 80 peratus syarikat memberikan bonus.

“Unjuran bonus pada 2023 adalah 2.18 dan 2.06 masing-masing untuk gaji bulanan bagi eksekutif dan bukan eksekutif, ia lebih tinggi daripada bonus sebenar pada 2022 masing-masing untuk 2.06 bulan dan 1.77 bulan,” katanya.

Beliau berkata, kaji selidik itu juga meliputi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 yang meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan ia memberi kesan kepada 70.3 peratus syarikat yang ditinjau.



Syarikat yang tidak terjejas dengan gaji minimum baharu itu memberi sebab gaji pekerja mereka sudah melepasi paras minimum.

Syed Hussain berkata, 53.4 peratus daripada syarikat responden juga menjangkakan peningkatan dalam keseluruhan kos gaji atau gaji mereka berikutan pelaksanaan gaji minimum baharu.

Beliau berkata, 59.7 peratus daripada syarikat responden bercadang untuk mengurangkan perbelanjaan operasi mereka untuk mengurangkan kesan gaji minimum baharu, manakala 48.8 peratus lagi menyatakan mereka akan menaikkan harga produk atau perkhidmatan sebagai langkah yang akan dilaksanakan.

“Sebanyak 43.8 peratus lagi syarikat responden berhasrat melaksanakan langkah penjimatan kos dalam bidang pengeluaran lain, manakala 36.8 peratus berhasrat beralih daripada pengeluaran berintensif buruh kepada pengeluaran teknologi,” katanya.



Selain daripada tinjauan gaji, MEF juga melancarkan Tinjauan Faedah Sampingan 2022 dan Analisis Perjanjian dan Penganugerahan Kolektif mengenai Terma dan Syarat Pekerjaan 2021.

METRO



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker