Malaysia catat kadar inflasi lebih rendah pada Oktober

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi di Malaysia turun kepada 4.0 peratus pada Oktober 2022 berbanding 4.5 peratus pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan menyederhana inflasi pada Oktober 2022 didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang mereda kepada 1.5 peratus berbanding 4.0 peratus pada September 2022.

“Peningkatan perlahan ini disumbangkan oleh ketiadaan pengaruh kesan asas susulan penamatan diskaun elektrik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bermula Julai hingga September 2021,” katanya dalam laporan IHP Oktober 2022, hari ini.

Mohd Uzir berkata, secara keseluruhannya pada tahun ini, inflasi bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.



Beliau berkata, peningkatan ini didorong terutamanya oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.5 peratus), pengangkutan (4.6 peratus) dan restoran dan hotel (4.6 peratus).

Bagi inflasi peringkat negeri pula, tiga negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras nasional 4.0 peratus iaitu Putrajaya (7.6 peratus), Selangor (4.9 peratus) dan Sarawak (4.3 peratus), manakala Labuan pula merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.3 peratus.

“Semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (8.8 peratus) diikuti oleh Sarawak (7.8 peratus), Pulau Pinang dan Putrajaya masing-masing sebanyak 7.6 peratus, Johor (7.3 peratus) dan Sabah (7.2 peratus).

“Inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.9 peratus daripada 124.3 pada Oktober 2021 kepada 129.1 pada Oktober 2022 disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel sebanyak 7.5 peratus diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol (6.8 peratus),” katanya.



Mohd Uzir berkata, kadar inflasi di Malaysia ini masih berada di tahap rendah berbanding dengan negara serantau serta global.

Beliau berkata, kadar inflasi Zon Eropah terus memecah rekod tertinggi semenjak ditubuhkan dan melonjak kepada 10.7 peratus pada Oktober 2022 daripada 9.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) juga masih tinggi walaupun ia sedikit mereda kepada 7.7 peratus pada Oktober 2022 berbanding 8.2 peratus pada September 2022.

“Bagi perbandingan dengan negara terpilih di Asia Pasifik, kadar inflasi negara adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (7.7 peratus), Thailand (6.0 peratus), Indonesia (5.7 peratus) dan Korea Selatan (5.7 peratus),” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker