Mangsa gempa solat Jumaat di luar masjid, bimbang gempa susulan



CIANJUR: Mangsa gempa bumi di sini mengadakan solat Jumaat di kawasan lapang berhampiran sawah padi, kerana bimbang berlakunya gempa bumi susulan selepas dinding masjid di situ retak dan tingkap pecah akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud yang mengakibatkan hampir 300 nyawa terkorban.

Imam, Muhamad Jamhur berkata, solat jemaah itu diadakan di gelanggang bola tampar yang terletak hanya 200 meter dari masjid yang dindingnya retak dan tingkap pecah akibat gempa bumi yang melanda bandar Cianjur, kira-kira 75 km ke selatan ibu kota Jakarta, Isnin lalu.

“Selepas bencana ini, kami masih takut. Jadi kami terpaksa berpindah ke sini di gelanggang bola tampar ini, bukan di masjid. Saya minta jemaah berjaga-jaga kerana bencana mungkin berlaku lagi,” kata Muhamad.

Beratus-ratus gegaran susulan menggegarkan sekitar kawasan Cianjur, ketika penduduk masih bersedih dan trauma kehilangan orang tersayang dan ada yang berlindung di khemah sementara sambil menunggu bekalan makanan, air, dan ubat-ubatan yang penghantarannya berdepan masalah akibat hujan lebat dan tanah runtuh.



Peniaga makanan Asep Hidayat, yang seperti ramai orang lain kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi, berkata dia bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat dan sembahyang lima waktu walaupun tidak di masjid.

“Sembahyang itu wajib dan perlu diteruskan di mana jua, walaupun bukan di masjid,” katanya.

Penduduk Indonesia kebanyakannya beragama Islam.

Pasukan penyelamat meneruskan usaha untuk membersihkan lumpur dan serpihan serta menarik keluar mana-mana mangsa.



Kira-kira 40 penduduk di sini masih hilang, tetapi harapan untuk menemui mereka masih hidup adalah tipis, kata agensi mitigasi bencana.

Indonesia ialah satu negara yang paling terdedah kepada gempa bumi di dunia, kerap merekodkan gempa bumi kuat di luar pesisir.

Gempa bumi Isnin lalu di darat di sekitar Cianjur di Jawa Barat, pada kedalaman 10 km dan pembinaan rumah yang lemah menyebabkan bangunan runtuh sehingga menyebabkan banyak kematian.

REUTERS





Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker