Messi masih harapan utama selamatkan Argentina

DOHA: Sepatutnya jalan ceritanya tidak begini. Sebelum Piala Dunia bermula, harapan tinggi Argentina ialah Lionel Messi akan mencipta gemilang di Qatar.

Bintang utama dengan magis di kakinya itu menegaskan dia berada pada tahap terbaik secara fizikal menjelang kejohanan yang mungkin terakhir buatnya mencari kejayaan di Piala Dunia.

Selepas menang La Liga 10 kali, tujuh kali Ballon d’Or, empat kali Liga Juara-Juara dan sekali Copa America, trofi ini sahaja yang tiada dalam koleksi besar milik peribadi Messi.

Argentina hadir ke kejohanan kali ini dengan 36 perlawanan tanpa kalah selepas mengejutkan pencabar utama, Brazil di laman sendiri ketika menang Copa America tahun lalu.



Pengkritik dan penyokong seluruh dunia mendakwa Argentina ialah satu daripada pasukan pilihan untuk Piala Dunia kali ini.

Rakyat Argentina membiarkan diri mereka bermimpi: seorang daripada pemain terhebat pernah disaksikan dunia akan meraih hadiah bola sepak terhebat itu.

Namun kekalahan mengejut 2-1 Selasa lalu berdepan Arab Saudi yang memiliki taktik dan tenaga lebih bagus, kembali menyedarkan mereka.

Autopsi sudah bermula di Argentina.



Peminat dan pengkritik mula membuat spekulasi sama ada ‘Pibe’ benar-benar cergas.

Dia tidak menyertai beberapa latihan secara berpasukan sebaliknya ada latihan sendiri kerana kecederaan di bahagian betis.

Jurulatih, Lionel Scaloni juga menerima kritikan kerana tidak berupaya menangani pertahanan tinggi Arab Saudi apabila tujuh kali terperangkap ofsaid pada babak pertama.

Dia juga dipersalahkan kerana tidak mampu memecahkan benteng lawan yang bertahan dengan baik selepas mendahului.

Ada pendapat mengatakan, pada usia 35 tahun, Messi mungkin tidak sebaik dirinya sebelum ini.

“Dia tidak cedera, tetapi dia ada beberapa masalah kerana usianya dan jumlah masa dia bermain musim ini,” kata akhbar sukan, Ole.

Begitupun, Messi masih kekal bintang kesayangan negara itu untuk merealisasikan impian mereka.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker