Orang Asli antara 30 sertai bengkel ekopelancongan Tasik Chini



PEKAN: Seramai 30 peserta, termasuk Orang Asli, menjayakan bengkel ekopelancongan Tasik Chini anjuran Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Program dua hari itu diadakan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan turut membabitkan peserta daripada agensi pembangunan Pahang untuk mempertingkat promosi Tasik Chini supaya dapat menarik kunjungan lebih ramai pelancong tempatan serta asing.

Penolong Pengarah Kanan (Silvikultur Pahang Timur) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin, berkata bengkel itu diadakan bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kemahiran interaksi serta keusahawanan dalam kalangan peserta.

“Kita lebih menumpukan kepada peserta Orang Asli kerana mereka terbabit secara langsung dengan pelancong yang ke Tasik Chini.



“Mereka terbabit dalam penyediaan bot membawa pelancong mengelilingi Tasik Chini, selain menjadi pemandu pelancong untuk aktiviti dalam hutan,” katanya pada majlis penutupan bengkel itu di PPTC UKM, di sini, kelmarin.

Peserta, Karim Johar, 50, dari Kampung Tanjung Puput, berkata bengkel itu memberi pendedahan cara berinteraksi dengan pelancong.

“Komunikasi yang baik dapat menambah keselesaan pelancong untuk melihat lebih dekat produk terdapat di Tasik Chini.

“Sambil menaiki bot mengelilingi tasik, pelancong akan diberi penerangan mengenai pelbagai cerita berkait tasik semula jadi itu, antaranya kisah naga Tasik Chini,” katanya.



Beliau berkata, ada pelbagai produk menarik yang mampu menarik kedatangan pelancong ke Tasik Chini, termasuk peluang melawat perkampungan Orang Asli di situ.

BHOnline



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker