Batuk kokol merebak di tiga wilayah selatan Thailand

Oleh – Syeikh Baran


Batuk kokol merebak di tiga wilayah selatan Thailand
Foto hiasan

Batuk kokol (pertusis) merebak dalam kalangan kanak-kanak di tiga wilayah paling selatan Thailand, dengan lebih 1,000 kes direkodkan setakat ini.

Daripada jumlah itu, tujuh mangsa meninggal dunia.

Gabenor Wilayah Yala, Ampon Pongsuwan, berkata di Yala sahaja, 158 kes didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun dan wanita hamil, dua daripadanya meninggal dunia.

Beliau berkata, penyakit pernafasan berjangkit itu turut merebak di wilayah Narathiwat dan Pattani, kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, terdapat kecenderungan untuk jangkitan meningkat dan lebih ramai kanak-kanak akan mati jika tindakan tidak diambil segera untuk membendung penularan penyakit itu.

Menurut Ketua Kesihatan Wilayah Yala, Dr Wiset Sirindhornsophon, berkata jangkitan itu mula dikesan pada Januari tahun lalu dan sehingga kini lebih 700 kes didiagnosis.

Memetik laporan Thai PBS World, dua kanak-kanak baru lahir yang tidak diberi vaksin meninggal dunia.

Beliau mendedahkan kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti sama ada tidak divaksin atau tidak divaksin sepenuhnya dan tidak mempunyai imuniti terhadap bakteria.

Menurutnya, jangkitan itu boleh membawa kepada jangkitan paru-paru yang teruk dan mengancam nyawa.

Cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun adalah dengan memberi mereka vaksin. Wanita hamil dalam trimester kedua juga perlu diberi vaksin, demi keselamatan ibu dan kandungan. – AGENSI

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker