Ringgit melonjak tinggi pada hari kedua selepas pelantikan PM



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan pada kadar tinggi berbanding dolar AS pagi ini, dengan mengukuh 0.9 peratus kepada RM4.45 sedolar pada jam 9.30 pagi, mencerminkan sentimen pelabur dan peniaga terus positif berikutan selepas kemelut politik pembentukan kerajaan dilihat semakin reda.

Selain itu, turut mendorong kenaikan adalah berita bahawa bank pusat AS, Rizab Persekutuan AS memberi isyarat akan memperlahankan kenaikan kadar faedah dalam menangani inflasi.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pergerakan aktif dalam pasaran saham Malaysia berikutan pelantikan Perdana Menteri baharu turut membantu ringgit untuk menarik pelabur asing.

“Bagaimanapun, pemacu sentimen utama pada masa hadapan ialah kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan seperti yang terkandung dalam minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC),” katanya kepada Bernama.



Namun begitu, beliau pasaran dijangka lengang kerana AS akan meraikan cuti Hari Kesyukuran pada hujung minggu ini.

Ringgit Malaysia mengukuh hampir 2.0 peratus semalam, peningkatan harian terbesar sejak Mac 2016 dan mendorong mata wang itu ke paras tertinggi dalam hampir tiga bulan iaitu Ogos lalu setelah kemelut politik dalam negara yang semakin reda.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli sParlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pelantikan itu dimuktamadkan selepas Seri Paduka menimbang pandangan Raja-Raja Melayu yang mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara.



Anwar sebelum ini sudah menyatakan beliau bertekad mahu meringankan kos sara hidup di samping memperkasakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana di dalam negara.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker