Stojkovic pening Serbia berubah babak kedua

LUSAIL, Qatar: Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic akur dengan kekuatan Brazil selepas tewas 2-0 di tangan lawan pada Piala Dunia awal pagi tadi namun beliau pening memikirkan kegagalan pemainnya untuk memberikan saingan sengit.

Brazil mengatasi Serbia pada aksi pembukaan mereka menerusi dua gol Richarlison pada babak kedua sekali gus meletakkan juara lima kali itu di tangga teratas Kumpulan G.

“Saya rasa kedua-dua Brazil dan Serbia beraksi pada tahap sama dalam 45 minit pertama, saya tidak nampak Brazil lebih dominan dalam tempoh itu,” kata Stojkovic pada sidang akhbar.



“Kami dikalahkan pada babak kedua, apabila keadaan fizikal pemain kami menurun dan kami tidak lagi bertindak sebagai satu pasukan, sudah tentu Brazil tahu bagaimana untuk menggunakan kesempatan itu.”

Pengendali Serbia itu menegaskan pasukannya tidak cergas sepenuhnya, termasuk penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka Aleksandar Mitrovic yang disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Anda amat menyedari hakikat kami hadir dengan pelbagai masalah ke Qatar,” kata Stojkovic.”Kami mempunyai banyak kecederaan yang perlu ditangani dan ia bukan masa yang sesuai, terutamanya kerana ia membabitkan beberapa pemain utama kami, jadi sudah tentu ia menyedihkan.

“Terlalu banyak asakan pada babak kedua, kami memberi terlalu banyak ruang kepada Brazil. Tetapi perkara paling utama pasukan saya dari segi fizikal amat lemah, jadi saya ingin tahu kenapa, ia mengejutkan saya kerana berasa ia sesuatu yang agak pelik.



“Selain itu saya perlu ulangi, kami mempunyai tiga pemain utama yang cedera. Ia terlalu berat buat kami. Kami bukannya Brazil dengan 200 juta penduduk, kami negara yang sangat kecil. Mereka cedera sebelum Piala Dunia jadi ia benar-benar malang.”

Seterusnya Serbia akan berdepan Cameroon, yang tewas 1-0 di tangan Switzerland semalam.

“Kami memerlukan beberapa hari untuk berehat sebaik mungkin sebelum perlawanan berikutnya. Kami mengetahui apa matlamat kami dan tidak akan berputus asa,” tegas Stojkovic.

“Kalah menentang Brazil tidak memalukan. Mereka berhak menang… Bagi perlawanan seterusnya, kami perlu memikirkan apa yang terbaik buat kami, kami memerlukan pemain yang paling sihat beraksi.”



REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button