Switzerland mampu atasi semua – Xhaka

DOHA: Granit Xhaka, berkata Switzerland boleh menewaskan sesiapa saja di Piala Dunia selepas jaringan Breel Embolo memastikan kemenangan 1-0 ke atas Cameroon pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Al Janoub.

Switzerland mara ke pusingan 16 terbaik dalam dua edisi terakhir Piala Dunia tetapi perlu berdepan pasukan pilihan, Brazil untuk aksi kedua sebelum mengakhiri saingan Kumpulan G menentang Serbia.

Skuad La Nati mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menyingkirkan juara dunia, Perancis dan Xhaka merasakan mereka mampu menjadi salah satu pasukan ‘kuda hitam’ di Qatar.

“Ia bukan kebetulan, apabila anda melihat 10 hingga 12 tahun terakhir kami berada dalam kejohanan utama.

“Pada pandangan saya, Brazil adalah pasukan pilihan untuk kejohanan ini . Kami perlu mengganggu mereka seperti yang kami lakukan pada tahun 2018,” kata kapten Switzerland itu.

Switzerland seri 1-1 dengan Brazil dalam perlawanan pertama mereka di Piala Dunia 2018 yang menyaksikan mereka turut menewaskan Serbia 2-1 hasil jaringan Xhaka dan Xherdan Shaqiri.

“Saya fikir Brazil boleh meletakkan tiga pasukan dalam kesebelasan utama. Mereka pasukan yang berbakat besar dan berkualiti.

“Tetapi ia adalah satu perlawanan selama 90 minit. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan. Kami perlu sangat kompak dan tidak membuat kesilapan bodoh kerana anda akan menerima akibatnya,” katanya.

Xhaka turut memuji Embolo yang berasal dari Yaounde di atas jaringan kemenangannya menentang negara yang ditinggalkannya semasa kanak-kanak.

Embolo mengangkat tangannya memohon maaf selepas menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua.

“Ia bukan mudah bermain menentang negara kelahiran anda tetapi Breel hebat hari ini. Saya tahu dia mendiamkan diri selepas golnya tetapi kami memerlukan Breel untuk golnya,” kata Xhaka.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker