Uruguay, Korea Selatan seri 0-0

AL RAYYAN: Uruguay dan Korea Selatan terikat tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2022 di Stadium Education City sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan tepat sepanjang permainan dengan percubaan terbaik kapten Uruguay, Diego Godin sekadar terkena tiang, manakala percubaan pemain Korea Selatan, Hwang Ui-jo melepasi palang.

Peluang pertama Uruguay hadir pada minit ke-19 menerusi Federico Valverde, yang menerima hantaran Jose Maria Gimenez sebelum melepaskan rembatan liar melepasi palang.

Ketika pasukan Amerika Selatan itu mula mendapat rentak, Korea Selatan yang bersabar dari awal, mengganggu rentak mereka dengan serangan balas pada minit ke-30.

Bintang Korea Selatan, Son Heung-min yang bermain dengan topeng akibat kecederaan di bahagian muka, mengutip bola dari sebelah kiri, melepasi dua pertahanan Uruguay sebelum melepaskan sepakan lencong ke arah gol, tetapi dikeluarkan oleh bek kiri, Mathias Olivera.

Korea Selatan sepatutnya mendahului permainan pada minit ke-35 apabila Moon-hwan Kim menghantar bola kepada Ui-jo, tetapi gagal disempurnakan penyerang itu.

Percubaan terbaik Uruguay di babak pertama hadir sebelum rehat, apabila bek tengah, Godin melompat tinggi untuk menanduk bola sepakan sudut Valverde, tetapi terkena tiang gol.

Uruguay lebih banyak menguasai permainan di babak kedua tetapi gagal menembusi benteng Korea Selatan, sehingga minit terakhir apabila rembatan Valverde terkena tiang.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker