Final Piala Malaysia: 100 bas bawa penyokong JDT turun KL



JOHOR BAHRU: Dianggarkan 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh negeri ini menaiki kira-kira 100 bas ke Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, malam ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT (Johor Fan Club), Mohd Fadzli Sapie, berkata sebanyak 70 bas berkenaan membawa rombongan Boys of Straits (BOS), manakala kira-kira 30 bas lagi membawa gabungan kelab-kelab penyokong lain.

“Kami menyediakan 15 bas untuk membawa penyokong yang berlepas jam 8.45 pagi tadi. Dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin saja, kita menyediakan sembilan bas yang membawa 360 penyokong bersama gabungan kelab lain, termasuk BOS. Begitu juga dengan penyokong di daerah lain seperti Batu Pahat.

“Justeru, saya menganggarkan kira-kira 100 bas berlepas dari Johor ke Stadium Nasional Bukit Jalil, pagi ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.



Beliau berkata, mereka berkumpul dan bergerak sama-sama ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT yang bakal berdepan Selangor FC pada aksi final kali ini.

“Sudah pasti kami membawa harapan besar mahu melihat JDT merangkul kemenangan walaupun dengan jaringan yang kecil.

“Kami berpandangan perlawanan pada malam ini bakal agak mencabar kerana Selangor FC juga semakin hebat sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih,” katanya.

Sementara itu, penyokong yang ditemui rata-rata tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan Harimau Selatan dengan Selangor FC, dengan keyakinan bahawa trofi Piala Malaysia akan menjadi milik JDT.



Kamariah A Kadir, 47, menjangka skuad bimbingan Hector Bidoglio mampu melakar kemenangan sekurang-kurang 2-1.

“Kita mengharapkan kemenangan JDT, malam ini. Cuma perkara paling penting ialah diharapkan tiada provokasi kerana kita mahukan semangat kesukanan yang sihat,” katanya.

Awang Lazaman, 69, yang mengaku diri adalah penyokong tegar JDT sejak zaman bujang turut berharap kemenangan akan berpihak kepada JDT memandangkan rekod baik dicatat pasukan itu.

“Kali terakhir JDT bertemu Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada 1991 dengan Johor menang 3-1. Justeru, sudah tentu kita berharap JDT akan mengulangi sejarah kejayaan itu lagi.



“Saya yakin kita tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana rekod JDT lawan Selangor pun baik, jadi peluang itu ada,” katanya.

JDT pernah menjulang trofi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019, namun dikecewakan pada 2021 oleh Kuala Lumpur City FC dengan sekadar muncul naib juara.

Kali terakhir skuad Selangor FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pula ialah pada 2016 tetapi tewas kepada Kedah.

BHOnline





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker