Prestasi pasaran pelaburan tentukan agihan untung Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran pelaburan domestik dan global sehingga akhir tahun ini bakal menjadi penentu sama ada Lembaga Tabung Haji (TH) dapat mengekalkan tahap agihan keuntungan untuk tahun 2022 seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad, berkata meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengekalkan kadar agihan keuntungan sebagaimana institusi pelaburan lain di Malaysia berikutan krisis semasa pasaran dalam dan luar negara, TH akan terus berusaha untuk memberi pulangan yang munasabah kepada para pendepositnya.

“Keadaan persekitaran pelaburan ketika ini adalah amat mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH, untuk mengekalkan tahap agihan keuntungan bagi tahun 2022 seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Seperti semua pelabur, TH tidak terkecuali berhadapan dengan kesan pasca pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, yang memberi tekanan berkembar dari sudut pendapatan (disebabkan kenaikan kadar pembiayaan, kelemahan ekonomi dan pasaran) dan juga perbelanjaan (disebabkan peningkatan inflasi dan kelemahan kadar tukaran mata wang asing),” katanya.



Bagaimanapun, beliau menambah TH akan terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan pulangan yang munasabah kepada para pendepositnya, selari dengan mandat penubuhan badan tersebut untuk menguruskan simpanan umat Islam bagi menunaikan haji.

Menurut Mustakim, perang antara Rusia dan Ukraine, polisi sifar COVID-19 China, kenaikan ketara kadar inflasi, peningkatan ketara kadar pinjaman/pembiayaan, kelemahan atau kemerosotan ekonomi, ketidaktentuan pasaran saham dan modal serta penyusutan nilai inggit berbanding mata wang asing terutamanya dolar Amerika Syarikat (AS) telah memberi kesan negatif terhadap TH dan institusi-institusi pelaburan lain di Malaysia.

Katanya, semua institusi pelaburan termasuk TH tidak terkecuali dari terkesan dengan kelemahan ekonomi dan pasaran terutama apabila indeks FBM KLCI terjejas melebihi 10 peratus dan pasaran global turun sekitar 30 peratus sepanjang tahun 2022.

Mustakim berkata kesan penurunan ketara pasaran saham diburukkan lagi dengan peningkatan kadar pembiayaan yang memberi kesan kepada nilai instrumen pendapatan tetap seperti sukuk.



Peningkatan kos haji beri kesan kepada jumlah agihan

Sementara itu, Mustakim berkata peningkatan kos haji secara mendadak berikutan kos tambahan yang dikenakan pihak berwajib Arab Saudi dijangka memberi kesan kepada jumlah agihan keuntungan TH pada tahun ini.

“Bagi dua tahun sebelum ini (2020 dan 2021), kita tidak menghantar jemaah Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji disebabkan oleh larangan dari kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19, justeru TH tidak menanggung perbelanjaan berkaitan haji termasuk bantuan kewangan haji”.

“(Bagaimanapun), jemaah haji dari luar Arab Saudi telah dibenarkan menunaikan haji semula pada tahun ini dan jumlah bantuan kewangan haji yang ditanggung oleh TH adalah hampir RM200 juta ditambah belanja operasi yang ditanggung berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.

Laksana pelaburan berhemah dan berdaya tahan

Mustakim berkata bagi memastikan simpanan para pendeposit tidak terlalu terjejas oleh ketidaktentuan pasaran, TH telah melaksanakan pelaburan berhemah dan berdaya tahan (defensive).

Bermula 2019, beliau menjelaskan TH telah membuat penambahbaikan dari segi alokasi aset strategik agar lebih selari dengan objektif penubuhan TH untuk mengurus simpanan bagi urusan haji dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

Alokasi aset dalam instrumen pendapatan tetap seperti sukuk ditingkatkan kepada 58 peratus manakala alokasi aset kepada pelaburan saham (ekuiti) dikurangkan kepada 23 peratus daripada aset di bawah pengurusan TH bagi menjamin pulangan lebih stabil dan kurang terjejas ketika keadaan pasaran saham yang tidak menentu.

Katanya strategi tersebut telah menampakkan hasil positif dengan jumlah pendapatan yang dicatatkan pada separuh tahun pertama 2022 kekal berdaya tahan, menyaksikan penurunan hanya 3.0 peratus berbanding tempoh sama tahun 2021, meskipun dalam ekonomi mencabar dan pasaran yang tidak menentu.

Menurut Mustakim, pulangan simpanan di TH juga kompetitif pada tahun 2020 dan 2021 yang mana kadar adalah lebih tinggi berbanding simpanan syariah di bank-bank tempatan.

Bukan sahaja pendeposit TH akan mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia melalui bantuan kewangan haji.

TH juga membayar zakat bagi pihak pendeposit dan pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima.

“Kebiasaannya jika mahu pulangan tinggi maka institusi pelaburan perlu mengambil risiko yang tinggi juga. TH tidak boleh mengambil risiko yang tinggi kerana bertentangan dengan mandat TH yang perlu terus kekal untuk menguruskan urusan haji, maka pulangan yang stabil dan mampan adalah lebih bertepatan,” jelas beliau.

Menurut Mustakim lagi, pendapatan daripada instrumen pendapatan tetap yang memberi pulangan lebih stabil kini merangkumi sebahagian besar daripada jumlah pendapatan TH.

“Alokasi aset TH juga dioptimumkan supaya berkadaran dengan risiko yang rendah dan sederhana untuk pulangan jangka sederhana dan panjang.

“TH turut mengamalkan perbelanjaan berhemah dan terkawal ketika berhadapan ancaman inflasi yang mana kos pengurusan operasi dan dana hanya meningkat sebanyak 3.6 peratus pada separuh pertama tahun 2022, iaitu berkadaran dengan peningkatan inflasi,” katanya.

Katanya, bantuan kewangan haji bersasar kepada jemaah haji B40 dan bukan B40 yang dilaksanakan pada tahun ini juga adalah bagi mengimbangi sebahagian daripada peningkatan kos haji yang dialami.

Kadar keuntungan 6.0-7.0 peratus sekitar 2011-2014

Mengulas mengenai kemampuan TH mengagihkan keuntungan pada kadar sekitar 6.0 – 7.0 peratus antara tahun 2011 hingga tahun 2014, Mustakim berkata landskap ekonomi pada ketika itu jauh lebih positif yang mana FBM KLCI berada pada paras 1,500 hingga 1,800, dengan paras tertinggi dicatatkan 1,900.

“Kadar tukaran wang asing juga berada pada tahap yang baik, dengan perbandingan antara ringgit dan dolar AS berada pada sekitar RM3.10 hingga RM3.30 bagi setiap AS$1.

“Kos haji pada ketika itu juga lebih rendah, pada RM14,340 hingga RM16,155 bagi setiap jemaah, di mana bantuan kewangan haji yang diberikan adalah pada kadar 30 hingga 40 peratus daripada kos haji seorang jemaah,” katanya.

Bagaimanapun, Mustakim berkata pada tahun ini pasaran saham tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan, kesan daripada ketidaktentuan global, menyaksikan FBM KLCI berada pada paras 1,390 hingga 1,500, manakala nilai tukaran ringgit berbanding dolar AS pula telah menyusut ke paras RM4.30 hingga RM4.80 bagi setiap AS$1.

Kos untuk menunaikan haji bagi setiap jemaah (Muassasah) juga meningkat kira-kira sekali ganda kepada RM28,632 seorang dan bantuan kewangan haji oleh TH juga turut bertambah kepada 55 – 65 peratus daripada kos haji seorang.

Faktor-faktor pengaruhi kadar pulangan TH

Mengulas lanjut, Mustakim menjelaskan bahawa kadar pulangan THturut dipengaruhi dan berkadaran dengan tahap kecairan simpanan – kecairan simpanan di TH (adalah bersamaan dengan Akaun Simpanan dan Akaun Semasa – CASA) iaitu tunai atas permintaan.

Berbeza dengan intsitusi pelaburan lain seperti tabung persaraan, beliau berkata para pendeposit TH bebas untuk membuat pengeluaran simpanan mereka pada bila-bila masa manakala tiada jumlah simpanan atau dana masuk yang tetap seperti pemotongan wajib oleh tabung persaraan.

“Jika kita lihat tabung persaraan sebagai contoh, setiap bulan mereka akan mendapat dana berbentuk caruman wajib oleh majikan dan pekerja, dan pengeluaran simpanan oleh pencarum tidak boleh dilakukan sesuka hati.

“Berbeza dengan TH, di sini kita perlu menyediakan alokasi aliran tunai bagi memastikan pendeposit kita dapat mengeluarkan simpanan mereka mengikut jumlah dan masa yang mereka ingin, ” katanya.

TH juga tidak mempunyai modal suntikan dari kerajaan yang dapat meningkatkan tahap pulangan, tambah Mustakim..

“Objektif pengurusan risiko pelaburan oleh TH adalah antara tahap rendah ke sederhana kerana untuk jangka masa sederhana dan panjang selari dengan masa menunggu tunai haji.

“Alokasi aset strategik TH lebih berdaya tahan kerana tidak bergantung tinggi kepada jual beli pelaburan tetapi bergantung kepada dividen dan kadar keuntungan instrumen pendapatan tetap patuh Syariah.

“Pendedahan pelaburan TH di luar negara juga jauh lebih rendah berbanding tiga institusi pelaburan terbesar di Malayisa.” jelas Mustakim.

Menurutnya, perbelanjaan pengurusan operasi haji termasuk bantuan kewangan haji yang diberi kepada jemaah Malaysia, adalah dari dana hasil yang sama dengan keuntungan yang diagihkan kepada para pendeposit .

Maka, pengkhususan kepada perbelanjaan berkaitan haji akan memberi kesan kepada agihan keuntungan, juga sebaliknya, kata beliau

Mustakim berkata kadar pulangan yang diterima oleh pendeposit juga adalah kadar selepas TH melunaskan zakat bagi pihak para pendeposit.

“Jika dibuat perbandingan, kadar pulangan beberapa pengurus dana dalam trend menurun untuk beberapa tahun yang lalu apabila kadar pulangan TH stabil pada kadar 3.0 peratus. Namun, keadaan ekonomi dan pasaran yang amat mencabar menyebabkan TH tidak terkecuali dan turut terkesan tahun ini,” katanya.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker