Geng Along aktif curi kenderaan tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Geng Along aktif curi kenderaan tumpas
Jaimi (tengah) menunjukkan peralatan yang digunakan suspek untuk mencuri kenderaan.

Geng Along yang aktif mencuri kenderaan dan motosikal untuk dijual ke negara jiran akhirnya tumpas apabila ketua termasuk empat ahlinya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata kesemua suspek warga tempatan yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki berumur 26, 41 dan 31 tahun serta dua wanita berumur 17 dan 29 tahun.

“Kumpulan ini aktif sejak tahun 2020 dan kenderaan yang dicuri akan dibawa ke sempadan untuk dijual di negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata melalui kejayaan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang dilaporkan.

Jaimi menambah selain di Kota Samarahan, suspek turut mengaku terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di Kuching, Simunjan dan Bintulu.

Katanya, kesemua suspek juga didapati mempunyai 11 rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai kes, termasuk salah seorang daripada mereka adalah orang dikehendaki bersabit kes tipu yang disiasat oleh IPD Jasin, Melaka.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah,” katanya.

Jaimi berkata kesemua suspek kini dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga hari ini, dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman lanjutan bagi membolehkan pihaknya meneruskan siasatan untuk mengesan tiga lagi rakan suspek yang masih bebas dan mengesan kedudukan barang kes.

Pada masa sama, kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker