‘Ziyech sanggup mati untuk anda jika diberikan kasih sayang’

DOHA: Pemain sayap Maghribi, Hakim Ziyech menjadi watak penting untuk membantu mereka mengejutkan pasukan nombor dua dunia, Belgium namun beberapa bulan lalu, dia sama sekali tidak akan berada di Qatar.

Bekas jurulatih, Vahid Halilhodzic menyingkirkan pemain itu daripada pasukan susulan keengganan untuk beraksi namun selepas dipecat pada Ogos, penggantinya, Walid Regragui kembali memanggil pemain Chelsea itu untuk mengemudi jentera serangan mereka.

Ketika menentang Belgium, Ziyech yang dinobatkan selaku pemain terbaik memperagakan apa yang diperlukan Maghribi menerusi persembahan cemerlang untuk membantu pasukannya melakar kemenangan pertama di Piala Dunia sejak menewaskan Scotland 3-0 pada 1998.



“Dia menakjubkan dengan semangat yang ada padanya selepas kembali ke pasukan kebangsaan.

“Ramai bercakap mengenainya yang mengatakan dia gila dan sukar untuk dikendalikan serta tidak dapat membantu pasukan.

“Namun ketika anda memberikan kasih sayang dan keyakinan padanya, dia sanggup mati untuk anda. Dia pemain tonggak dan menjadi pemain yang berbeza bersama skuad kebangsaan,” kata Regragui.

Kepantasan bekas pemain Ajax Amsterdam itu jelas memberikan masalah kepada pertahanan Belgium dengan fokus serangan mereka terarah menerusi sebelah kanan.



Ziyech menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma namun dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum hantaran lintangnya disudahkan Zakaria Aboukhlal untuk mengukuhkan kedudukan kepada 2-0 pada masa tambahan.

Abdelhamid Sabiri terlebih dahulu meletakkan Maghribi di depan pada minit ke-73 apabila meledak jaringan daripada sudut yang sukar.

Maghribi terikat tanpa jaringan menentang Croatia pada aksi pertama dan belum lagi bolos dalam lima perlawanan di bawah kendalian Regragui setakat ini.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button